Kedah henti sementara konsert terbuka

Mohd Firdaus (kiri) dan Najmi (tengah) mengadakan sidang akhbar bersama menjelaskan kekeliruan berhubung video tular.
Mohd Firdaus (kiri) dan Najmi (tengah) mengadakan sidang akhbar bersama menjelaskan kekeliruan berhubung video tular.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri menghentikan sementara penganjuran konsert terbuka sehingga ketetapan baharu dikeluarkan dalam masa terdekat.

Exco Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, ia bagi membolehkan kerajaan negeri memperincikan dan memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan untuk program hiburan termasuk konsert terbuka.

Menurutnya, ini bagi memastikan insiden pengunjung terkinja-kinja menari dan bersorak di luar kawalan seperti tular di Art Loq Staq Festival: Muda Mudi Weekend Fest tidak lagi berulang.

"Pada Isnin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataan maklumkan sebarang konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak dibenarkan.

“Ia hanya pemakluman umum, belum diperincikan jenis konsert yang macam mana tidak dibenarkan. Perkara ini akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Exco esok dan akan diumumkan ketetapan atau SOP baharu oleh Menteri Besar,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama pihak penganjur ‘Muda Mudi Weekend Fest’ di Wisma Darul Aman pada Selasa.

Hadir sama, Exco Agama, Datuk Najmi Ahmad.

Tular video di TikTok mengenai acara yang memaparkan aksi penonton melompat dan menari ketika persembahan konsert yang dianjurkan di hadapan Masjid Zahir.
Tular video di TikTok mengenai acara yang memaparkan aksi penonton melompat dan menari ketika persembahan konsert yang dianjurkan di hadapan Masjid Zahir.

Mohd Firdaus berkata, selepas penganjur memperjelaskan situasi yang berlaku, pihaknya mendapati tiada sebarang pelanggaran dari aspek lesen atau SOP yang dilakukan penganjur, sebaliknya apa yang berlaku adalah di luar jangkaan dan kawalan penonton.

Artikel Berkaitan:

“Penganjur sudah sedia maklum pada arahan dan SOP yang perlu mereka patuhi malah mendapat kebenaran polis termasuk lesen hiburan untuk penganjuran program.

"Penganjur juga telah mengambil tindakan awal dengan memberhentikan konsert pada waktu kejadian berlaku.

Difahamkan, konsert yang dijadual selama dua jam itu dihentikan serta-merta selepas insiden tersebut dan penganjur turut menasihati penonton agar tidak berbuat demikian," katanya lagi.

Menurutnya, program utama bukanlah penganjuran konsert, ia hanya sebahagian program yang diadakan pada akhir acara.

"Berdasarkan atur cara yang dikepilkan penganjur, terdapat slot menghentikan acara hiburan pada 1 tengah hari, 4.00 petang, termasuk maghrib bagi memberi laluan kepada solat.

"Saya percaya perkara ini menjadi isu besar berikutan pemilihan tempat program yang diadakan berhampiran Masjid Zahir dan Pejabat Agama Islam, yang dikatakan kurang sesuai," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri tidak menyalahkan mana-mana pihak dan bersikap terbuka menerima teguran, namun pada masa sama akan meneliti kembali aspek yang boleh diperkemaskan lagi agar kejadian seumpama tidak berulang pada masa hadapan.

"Program-program seperti ini tidak boleh disekat terus. Ia menggabungkan aktiviti seni, keusahawanan dan hiburan kekeluargaan namun menjadi tidak terkawal hanya ketika konsert diadakan.

"Itu pun ketika sebuah band ternama menyanyikan sebuah lagu dan penganjur bertindak pantas dengan hentikan serta merta persembahan tersebut.

"Takkan pula disebabkan insiden tersebut, usahawan kita dihalang, mereka nak cari rezeki macam mana, malah akan merencatkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri,” katanya lagi.

Mohd Firdaus memberitahu, program yang diadakan selama dua hari bermula Jumaat itu merupakan himpunan anak muda yang meminati seni, termasuk usahawan muda untuk menjana pendapatan dengan membuka gerai jualan pelbagai produk makanan, minuman, pakaian serta barangan perhiasan.

Sementara Najmi tegaskan, kerajaan negeri sememangnya berhasrat mengekang perkara yang boleh merosakkan akhlak berdasarkan tata cara dan dasar hiburan sedia ada.

"Untuk harmonikan keadaan, kita hentikan sementara penganjuran konsert yang boleh datangkan mudarat, bukan halang semua konsert, sebab ada yang berkonsepkan kerohanian dan keagamaan," katanya.

Menurutnya, penganjur perlu memupuk unsur mendidik kepada penonton dan diharap lebih peka terhadap isu sensitif terutama melibatkan aspek agama.

Manakala, penganjur program ‘Muda Mudi Weekend Fest’, Ainol Zulkarnain Zainal Abidin berkata, pihaknya telah mematuhi segala arahan dan SOP ditetapkan dan tidak menyangka perkara seperti itu akan berlaku.

“Ini adalah program berkonsepkan positif dengan elemen seni, fesyen, seni sukan BMX, seni dalam kopi artisan dan sebagainya.

"Mungkin pemilihan tempat agak kurang sesuai dan kami akan lebih berhati-hati pada masa hadapan.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak seandainya program tersebut telah mencetuskan kontroversi dan memberi imej buruk kepada kerajaan negeri dan penganjur bersama, iaitu Balai Seni dan Muzium Kedah,” katanya.