Quran Corner suntik semangat murid KAFA dekati al-Quran

Mohamad Rajaie (kiri) menyerahkan replika simbolik Quran Corner kepada Razali sambil disaksikan Norliza.
Mohamad Rajaie (kiri) menyerahkan replika simbolik Quran Corner kepada Razali sambil disaksikan Norliza.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seramai 221 murid KAFA Sri Bayu menerima manfaat menerusi inisiatif penambahbaikan kemudahan pembelajaran dan pendidikan agama di sekolah berkenaan, termasuk sumbangan Quran Corner yang dilengkapi dua set al-Quran wakaf.

Inisiatif menerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu bertujuan menggalakkan murid mendekati, membaca dan memahami al-Quran, sekali gus memperkukuh pendidikan agama dalam kalangan mereka.

Pengurus Kanan Jualan Iklan Sinar Harian, Mohamad Rajaie Mohd Radzi berkata, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada Program Sekolah Angkat Madani yang dilaksanakan Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd menerusi rangkaian Royale Chulan Hotels & Resorts (RCHR).

"Inisiatif ini memberi manfaat kepada 221 murid dan 12 guru di KAFA Sri Bayu.

"Program tersebut turut melibatkan kerja-kerja mengecat semula surau yang menempatkan KAFA Sri Bayu, pemasangan sistem pembesar suara, penyediaan televisyen sebagai alat bantu pembelajaran serta sumbangan 12 set pakaian seragam guru," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Minum Petang Bersama RCHR sempena Program Sekolah Angkat Madani 2026 KAFA Sri Bayu di sini.

Turut hadir, Komandan Pangkalan Udara Butterworth, Brigedier Jeneral Razali Ahmad Jumali.

Sementara itu, Pengerusi Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pelaksanaan program Sekolah Angkat Madani perlu berasaskan keperluan sebenar sekolah dan komuniti setempat.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu program berkenaan sekadar menjadi platform menyampaikan sumbangan, sebaliknya memastikan bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian penerima.

“Menjadi sekolah angkat bukan sekadar hadir untuk menyampaikan sumbangan. Kita perlu mendengar, memahami keperluan mereka dan memastikan setiap bantuan yang diberikan dapat digunakan serta membawa manfaat dalam kehidupan seharian.

“Surau ini bukan sahaja menjadi tempat anak-anak KAFA menimba ilmu agama tetapi ruang yang menyatukan masyarakat Sri Bayu. Sebab itu kami mahu penambahbaikan yang dilaksanakan memberi keselesaan kepada murid, guru dan seluruh komuniti,” katanya.

Norliza berkata, Boustead Hotels & Resorts bersama RCHR sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai usaha menyumbang kembali kepada masyarakat.

Menurutnya, kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan penting bagi memastikan program kemasyarakatan dapat dilaksanakan secara berkesan serta memberi manfaat kepada golongan sasaran.

Beliau berkata, pendidikan agama memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu malah mempunyai adab, akhlak yang baik dan sikap menghormati perbezaan.

“Melalui program ini, kita bukan sahaja membantu menyediakan kemudahan yang lebih baik, tetapi turut menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan komuniti setempat.

“Kita berharap usaha seperti ini menjadi contoh kepada lebih banyak syarikat korporat untuk turut memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat,” katanya.

Program Sekolah Angkat Madani adalah inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kewangan dengan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta bagi memperkukuh pembangunan pendidikan serta kesejahteraan komuniti.

Bagi pelaksanaan tahun ini, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama syarikat kumpulannya dipertanggungjawabkan melaksanakan program berkenaan membabitkan 42 sekolah rendah agama dan kelas KAFA di dalam serta sekitar kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dengan sokongan Kementerian Pertahanan dan ATM.

Boustead Hotels & Resorts turut diberikan tanggungjawab mengambil dua sekolah KAFA sebagai sekolah angkat iaitu KAFA Sri Bayu di Butterworth dan KAFA Al-Amin di Kuantan, Pahang.

Dalam program sama, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menyampaikan sumbangan akaun Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime kepada 167 murid KAFA Sri Bayu dengan jumlah keseluruhan RM8,350 iaitu RM50 bagi setiap murid.

Sumbangan itu bertujuan memupuk budaya menabung untuk pendidikan sejak usia muda sebagai persediaan melanjutkan pengajian pada masa depan.

Norliza berkata, Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat termasuk pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, perlindungan takaful kepada pendeposit, geran sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif serta simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Beliau berharap sumbangan akaun Simpan SSPN itu menjadi permulaan kepada murid untuk membina tabungan pendidikan secara konsisten bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman apabila melanjutkan pengajian kelak.

Program Sekolah Angkat Madani itu mencerminkan komitmen Boustead Hotels & Resorts untuk memperluas peranan industri hospitaliti dalam menyokong pendidikan dan kesejahteraan komuniti di lokasi operasinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!