Konsert hiburan langgar tatasusila tidak dibenarkan di Kedah

Kenyataan media Menteri Besar Kedah.
Kenyataan media Menteri Besar Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR – Kedah tidak membenarkan sama sekali penganjuran Muda Mudi Weekend Fest (MMWF) yang melibatkan konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kejadian muda-mudi terkinja-kinja tanpa arah gara-gara konsert hiburan di Balai Seni Alor Setar pada Sabtu menjadi penanda aras baharu berhubung sebarang aktiviti di Kedah.

“Ia menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberikan ruang untuk membiak.

“Semua Pegawai Daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan pelesenan hiburan telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan arahan ini adalah berkuatkuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, penganjuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti fun run, fun ride, treasure hunt, pertandingan memancing dan lain-lain pertandingan digalakkan.

Bagaimanapun, beliau menyatakan, aktiviti itu perlu selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (GAPEMA) Kedah Baharudin PM Mohamed Ali berkata, beliau berharap penjaja dan peniaga berniaga di festa berkenaa tidak dipersalahkan.

Baharudin berkata, penganjur festa berlangsung di depan Balai Seni Alor Setar berkenaan yang bertanggungjawab setiap acara yang berjalan.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, penjaja dan peniaga kecil hanya menyewa tapak bagi memeriahkan sesuatu acara di jalankan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Ketua Persatuan Penjaja dan Peniaga diharapkan dijemput bagi membantu pihak kerajaan membuat pemantauan bagi setiap acara yang akan dijalankan di negeri ini.

Pada Ahad, kerajaan Kedah melahirkan kekesalan atas penganjuran konsert di dataran berhadapan Masjid Zahir pada Sabtu seperti mana tular di media sosial.

Ia susulan beberapa video di muatnaik di pelbagai platform media sosial berhubung penganjuran konsert dihadiri pelbagai peringkat umur khususnya anak muda yang bercampur lelaki dan Wanita meraikan persembahan hiburan di pentas hingga mendapat sorakan ramai.