Air minuman disyaki tercemar: JKN Kedah sita produk, peralatan lebih RM14,000

Operasi dilakukan di premis berkenaan pada Rabu. Foto JKN
Operasi dilakukan di premis berkenaan pada Rabu. Foto JKN
A
A
A

YAN - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menyita produk dan peralatan bernilai lebih RM14,000 selepas mengesan sebuah premis pengeluaran air minuman di daerah ini beroperasi tanpa lesen sah.

JKN Kedah dalam satu kenyataan berkata, premis berkenaan turut disyaki menghasilkan air minuman mengandungi bahan tercemar termasuk bakteria dan bahan kimia berdasarkan hasil analisis sampel daripada punca telaga serta yang sudah dibotolkan.

Menurutnya, pemeriksaan menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu pada Rabu mendapati pengusaha premis tidak mempunyai lesen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil air minuman atau air mineral semula jadi daripada punca air bagi tujuan perdagangan.

Peralatan dan perkakasan yang digunakan di premis berkenaan diperiksa. Foto JKN
Peralatan dan perkakasan yang digunakan di premis berkenaan diperiksa. Foto JKN

"Premis itu juga didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah daripada Majlis Daerah Yan (MDY) selain tidak memiliki lesen pengabstrakan air daripada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

"Operasi berkenaan melibatkan 80 anggota daripada JKN Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Yan, MDY, LSANK dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Menurutnya, satu notis dikeluarkan bawah Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 atas kesalahan menjual air minuman berbungkus tanpa lesen dengan nilai kompaun RM3,500.

Selain itu, sitaan produk dan perkakasan turut dilakukan bawah Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 dengan nilai rampasan RM14,241.10.

Artikel Berkaitan:

Dalam operasi sama, MDY turut mengeluarkan kompaun RM300 terhadap pengusaha berkenaan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, mengikut Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Yan) 2011.

Produk minuman disita untuk siasatan lanjut. Foto JKN
Produk minuman disita untuk siasatan lanjut. Foto JKN

Dalam tindakan berasingan, LSANK mengeluarkan notis arahan pemberhentian serta-merta aktiviti pengabstrakan air berikutan pengambilan air tanpa lesen sah, mengikut Seksyen 70, Enakmen Sumber Air Kedah 2008.

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa membaca label dan memastikan produk Air Minuman Berbungkus (AMB) atau Air Mineral Semula Jadi (AMS) mempunyai nombor kelulusan lesen KKM yang sah sebelum membuat pembelian.

JKN Kedah menegaskan pematuhan terhadap keperluan pelesenan punca air penting bagi memastikan produk air minuman di pasaran selamat diminum serta tidak mendatangkan risiko kesihatan kepada pengguna.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan penjualan produk makanan yang melanggar Akta Makanan 1983 boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau menyalurkannya menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!