Tangani lambakan songket

Mohd Nurkhuzaini (dua, kanan) mendengar penjelasan salah seorang usahawan berkenaan produk jualan mereka sempena Sembang Santai Bersama Usahawan Peringkat Kuala Terengganu dan Marang di TTC.
Mohd Nurkhuzaini (dua, kanan) mendengar penjelasan salah seorang usahawan berkenaan produk jualan mereka sempena Sembang Santai Bersama Usahawan Peringkat Kuala Terengganu dan Marang di TTC.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menyedari isu lambakan songket luar yang masuk ke dalam pasaran Terengganu, kerajaan negeri bakal mengadakan perjumpaan khas dengan pengusaha-pengusaha songket di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Makro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, beliau merancang untuk mengadakan perjumpaan itu bagi mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai isu sebenar berkenaan pasaran songket asli Terengganu yang terkebelakang selepas kemasukan songket luar.

Menurutnya, pengusaha yang terlibat dengan songket diharap dapat memberi kerjasama baik supaya kerajaan dapat mencari penyelesaian yang tepat terhadap masalah terbabit.

“Kita nak tahu latar belakang (cerita) keseluruhan dan saya rasa kita panggil semua pengusaha dan dengar mereka ini bercakap dan meluahkan masalah, baru boleh buat satu dasar.

“Saya akan ambil cakna perkara ini dan bincang dengan pengusaha tentang cadangan dan sebagainya supaya ia boleh diangkat kepada kerajaan negeri dan Pusat,” katanya pada program Sembang Santai Bersama Usahawan Peringkat Kuala Terengganu dan Marang di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Rozali Salleh serta ketua-ketua jabatan daripada 22 agensi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.

Mohd Nurkhuzaini berkata, beliau bersedia mempertahankan industri songket itu dan menegaskan ia perlu dipelihara supaya tidak ditelan zaman.

Dalam masa sama, beliau turut berharap pengusaha songket dapat bersatu dan mengambil inisiatif meletakkan logo songket asli Terengganu bagi membezakan songket tempatan dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan logo sudah dipatenkan tetapi hanya enam pengusaha sahaja yang berminat,” katanya.