Sebak terima skrol diploma anak

Patimah menunjukkan gambar Mohd Ridwan.
Patimah menunjukkan gambar Mohd Ridwan.
A
A
A

SERI ISKANDAR - "Pagi tu dia peluk saya. Lama sangat dan dia pakai uniform kerja ayah dia," demikian reaksi Patimah Siro, 54, ibu graduan Diploma Bangunan (AP116), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak, Allahyarham Mohd Ridwan Farid, 22, ketika ditemui sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-90 di Kampus Seri Iskandar, petang tadi.

Allahyarham Mohd Ridwan menemui ajal sewaktu terbabit dalam nahas dengan sebuah lori di Kuala Pilah pada 19 November tahun lalu.

Patimah berkata, itulah kali terakhir dia melihat Mohd Ridwan sebelum menerima berita nahas melibatkan anak bongsunya itu.

"Kejadian berlaku lima hari selepas konvo abang dia. Dia kata lepas abang, lepas ni persiapan untuk dia pula.

"Dia beli baju kurung hitam untuk saya pakai masa konvo abangnya dan untuk konvonya, dia akan beli baju yang lain pula.

"Malah, pagi sebelum kejadian dia nampak biasa sahaja, ceria," katanya.

Md Farid Mohd Hassan, 51, mewakili Allahyarham Mohd Ridwan menerima skrol berkenaan daripada Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Dr. Mohd Azraai Kassim.

Artikel Berkaitan:

 Md Farid berkata sesuatu kepada Mohd Azraai (kanan) pada konvokesyen berkenaan.
Md Farid berkata sesuatu kepada Mohd Azraai (kanan) pada konvokesyen berkenaan.

Patimah berkata, suasana sedih dan pilu mengiringi sepanjang perjalanannya bersama suami dari Jempol ke Seri Iskandar bagi menghadiri majlis konvokesyen berkenaan.

Katanya anak sulungnya, Md Firdaus, 24, tidak ikut bersama kerana melapor diri di Kementerian Pertahanan (MINDEF), hari ini.

"Sepanjang perjalanan memang sayu. Memang sedih kalau kita rasa kehilangan.

"Anak kehilangan ibu lain rasanya, ibu kehilangan anak lain rasanya, kerinduan yang tiada penghujungnya dan tak pernah hilang.

"Walaupun sedih, tapi kena kuatkan juga semangat untuk sampai ke sini terima diploma ini. Ini kenangan terakhir dia," katanya.

Tambah Patimah, dirinya menggigil tatkala melihat suaminya naik ke pentas bagi menerima skrol diploma milik anaknya itu sempena istiadat konvokesyen berkenaan.

Patimah dan Md Farid melihat skrol yang diperolehi Mohd Ridwan pada konvokesyen berkenaan.
Patimah dan Md Farid melihat skrol yang diperolehi Mohd Ridwan pada konvokesyen berkenaan.

"Saya menggigil tengok suami di atas pentas masa amil skrol anak. Tak dapat nak cakap apa perasaan masa tu. Sebak sangat.

"Apa tidaknya, bila tengok semua anak orang lain yang naik ke pentas. Kami selalu datang ke sini bersama, tetapi kali ini hanya kami berdua sahaja," katanya.

Dalam pada itu Md Farid yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol berkata, dia sememangnya tidak menyangka bahawa aduan kemalangan yang diterimanya pada pagi 19 November 2018 lalu melibatkan anaknya sendiri.

"Saya terima berita daripada IPD Kuala Pilah yang mencari keluarga mangsa. Bila baca nama.dan nombor kad pengenalan rupanya anak sendiri.

"Bagaimanapun saya tetap bangga dengan usahanya. Anak saya memang kuat belajar. Lagi satu, dia anak yang taat dan suka tolong kawan-kawan," katanya.