Annuar perjelas kekeliruan peratusan capaian 5G

Annuar Musa. - Foto Bernama.
Annuar Musa. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa pada Khamis menjelaskan kekeliruan mengenai peratusan capaian 5G di bandar-bandar utama.

Beliau berkata, peratusan capaian 5G yang disasarkan mencapai 40 peratus pada akhir tahun itu adalah merujuk kepada penyediaan prasarana oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

"Saya faham apabila ada sesetengah orang kata... kita kata sudah ada liputan 5G di Kuala Lumpur dan sebagainya, kenapa kita belum terima? Sebenarnya belum sampai ke tahap itu, peratusan yang diberikan itu ialah apa yang disyaratkan kepada DNB untuk menyediakan prasarana di beberapa lokasi.

"Sekarang ini lebih 2,000 lokasi yang telah disiapkan tetapi servis kepada orang ramai itu perlu dilaksanakan oleh syarikat-syarikat telco yang mempunyai lesen," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta penjelasan mengenai peratusan capaian 5G di bandar-bandar utama yang masih belum dapat dinikmati pengguna khususnya di Petaling Jaya.

Annuar berkata, kelewatan bagi perkhidmatan capaian 5G untuk pengguna berlaku berikutan hanya empat syarikat telekomunikasi (telco) menerima dan menjadi pemegang saham DNB walaupun enam syarikat ditawarkan untuk menjadi pemegang saham DNB.

"... kerana ada perubahan tersebut, empat syarikat telco yang menerima tawaran itu telah pun balik semula mendapatkan kelulusan daripada Lembaga (Pengarah) masing-masing apabila saham ditambah, ditawarkan tambahan kepada mereka daripada baki yang tidak diambil daripada dua telco.

"Proses itu mengambil masa dan berlaku sedikit kelambatan dan hanya apabila kesemua empat syarikat menandatangani perjanjian akses barulah bekalan kepada pengguna untuk dapatkan perkhidmatan 5G diperoleh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata secara keseluruhannya kemajuan peratusan liputan 4G di Sabah meningkat 87.55 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Beliau berkata, di bawah program JENDELA Fasa 1 di Sabah, daripada 614 tapak menara baharu yang diluluskan, sejumlah 142 disiapkan manakala bagi tahap jalur lebar satelit sebanyak 138 projek disiapkan, setakat suku kedua tahun ini.

Annuar berkata, beliau menemui Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan negeri Sabah supaya pelaksanaan projek pembinaan menara baharu yang diberikan kepada syarikat milik kerajaan negeri dapat diperbaiki seterusnya baki pembinaan menara dapat disiapkan mengikut sasaran, iaitu pada akhir tahun ini.

Selain itu, beliau berkata pihak kementerian mengenal pasti 290 lokaliti lagi di bawah JENDELA Fasa 2 yang memerlukan perkhidmatan jalur lebar satelit bagi negeri berkenaan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai status terkini pemasangan jalur lebar satelit di Sabah memandangkan capaian Internet di Sabah masih bermasalah dan lemah terutamanya di kawasan luar bandar. - Bernama.