PRN: Annuar Musa, Afiq hadir di khemah berbeza

Annuar (dua dari kiri) menunaikan solat hajat bersama penyokong di Ketereh, Kota Bharu pada Sabtu.
Annuar (dua dari kiri) menunaikan solat hajat bersama penyokong di Ketereh, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan anak lelakinya, Afiq Amani hadir di khemah berbeza bagi memberi sokongan kepada calon parti masing-masing di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan di Majlis Daerah Ketereh, di sini, pada Sabtu.

Annuar tiba bersama lebih 3,000 penyokong Perikatan Nasional (PN) yang berarak sambil berselawat dan melaungkan kalimah Allahuakhbar.

Calon dan penyokong PN turut menunaikan solat sunat hajat di pekarangan pusat penamaan calon itu sebelum masuk ke dalam dewan.

Afiq Amani yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh pula hadir bersama bekas penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan mengiringi calon Barisan Nasional (BN) - Pakatan Harapan (PH).

Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional ketika ditemui berkata, kehadiran beliau sebagai ahli parti bagi memberikan sepenuh kerjasama kepada PN kerana kawasan itu pernah diwakilinya sebagai ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh.

“Saya kini sebagai ahli Pas wajib memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua calon PN yang bertanding.

“Saya harapkan mereka akan mencapai kemenangan yang cemerlang bersama semua calon PN di enam negeri. Saya berada di sini untuk memberikan sokongan moral dan peribadi kepada calon yang dipilih,” kata beliau kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Pada PRN kali ini, DUN Melor menyaksikan pertembungan antara Wan Rohimi Wan Daud (PN-Pas) dan Azmi Ishak (BN) manakala di DUN Kok Lanas, calon PN, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi (PN-Parti Pribumi Bersatu Malaysia) melawan Ahmad Deraman (BN) sementara di DUN Kadok di antara Datuk Azami Mohd Nor (PN-Pas) dan Ir Mohd Azizan Razak (PH-Parti Amanah Negara).

Annuar mahu pastikan Kok Lanas jadi milik PN

Dalam pada itu, Annuar akan memastikan DUN Kok Lanas dirampas daripada BN untuk menjadi milik PN pada PRN bakal berlangsung 12 Ogos ini.

Annuar berkata, akan mengajak seluruh rakyat di Ketereh untuk mengundi dan memberi kemenangan kepada calon PN di Kok Lanas iaitu Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

“Dulu semasa saya bersama UMNO, memang Kok Lanas milik mereka berpenggal-penggal dan sekarang ini saya akan pastikan Kok Lanas dapat kepada PN.

“Rakyat Ketereh faham perjuangan saya dan saya akan mengajak seluruh mereka untuk bersama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Majlis Daerah Ketereh di sini pada Sabtu.

Pada PRN kali ini, DUN Melor menyaksikan pertembungan antara Wan Rohimi Wan Daud (PN-Pas) dan Azmi Ishak (BN) manakala di DUN Kok Lanas Mohamed Farid (PN-Parti Pribumi Bersatu Malaysia) melawan Ahmad Deraman (BN) serta di DUN Kadok antara Datuk Azami Mohd Nor (PN-Pas) dan Ir Mohd Azizan Razak (PH-Parti Amanah Negara).

Menurut Annuar, berkaitan perihal dirinya tidak dipilih menjadi calon, beliau tidak kecewa dan berpandangan dalam perjuangan perlu ada prinsip yang jelas dan bukan sekadar untuk berebut untuk menjadi calon.

Katanya, perjuangan secara bersama dan tidak mementingan diri itu ialah cara perjuangan yang baik.

“Tidak boleh rasa tergores.

"Mementingan diri itu bukan cara perjuangan yang baik,” kata beliau.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Md Alwi (BN) mempertahankan kerusi DUN Kok Lanas selepas menewaskan calon Pas Nik Mahadi Nik Mahmood dan Dr Mohd Hanapi Ismail (PKR) dengan majoriti 1,122 undi.

Md Alwi memperoleh undian sebanyak 10,921 manakala Nik Mahadi (9,799 undi) dan Dr Mohd. Hanapi (1,779 undi).

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!