Konsert hiburan: Pemuda Pas sokong kenyataan MB Kedah

Nurul Amin Hamid (kiri) dan laporan Sinar Harian.
Nurul Amin Hamid (kiri) dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Pas menyokong ketegasan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak membenarkan sebarang bentuk persembahan konsert di luar tatasusila berlangsung di negeri ini.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, Kedah masyhur sebagai salah satu negeri yang subur dengan pusat pengajian Islam, banyak pondok-pondok agama, madrasah dan juga tahfiz.

Menurutnya, kerajaan Kedah di bawah kepimpinan Muhammad Sanusi turut memperkenalkan gagasan dikenali Cordoba Of Kedah.

“Sehubungan itu, ia seharusnya menjadi lambang martabat agama Islam di Kedah harus dipelihara dan tidak boleh dicemari dengan sebarang perlakuan yang menjejaskan imej tersebut.

“Semoga dengan ketegasan menteri besar menjadikan Kedah terus subur dan sejahtera dengan nilai-nilai murni serta tatasusila yang tinggi dalam kalangan masyarakat bagi menterjemahkan slogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Pemuda Pas juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk membantu pihak kerajaan mendapatkan input dalam penambahbaikan penggubalan Enakmen Hiburan dan Tempat -Tempat Hiburan Negeri Kedah 1997 dan juga Garis Panduan Hiburan Kedah yang sedang diusahakan.

“Justeru, kita telah mengadakan pertemuan dengan Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman dalam merealisasikan hasrat kerajaan negeri menambah baik panduan hiburan di Kedah,” katanya.

Menurut Nurul Amin, Pemuda Pas Kedah berpandangan usaha pemantauan di peringkat pentadbiran pihak berkuasa tempatan perlu diperkasakan lagi.

Artikel Berkaitan:

“Misalnya, untuk kos petugas penguatkuasaan perlu ditambah supaya mereka dapat bertugas lebih masa dalam usaha meningkatkan pemantauan terhadap program yang telah diluluskan,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Kedah memutuskan tidak membenarkan sama sekali penganjuran sebuah program yang melibatkan konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila.

Ia susulan beberapa video dimuat naik di pelbagai platform media sosial berhubung penganjuran konsert dihadiri pelbagai peringkat umur khususnya anak muda yang bercampur lelaki dan wanita meraikan persembahan hiburan di pentas hingga mendapat sorakan ramai.