Pemuda Pas Terengganu bantah penganjuran konsert Coldplay

Hamdi
Hamdi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu menyeru rakyat untuk bersama-sama menolak kehadiran kumpulan muzik ternama, Coldplay ke negara ini dan menuntut supaya kerajaan membatalkan konsert tersebut.

Naib Ketuanya, Hamdi Harun berkata, pihaknya memandang serius penganjuran konsert dari Coldplay kerana dibimbangi menjadi duri dalam daging bagi meracuni pemikiran dan budaya rakyat dalam amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Pemuda Pas tidak menolak hiburan, tetapi kehadiran kumpulan Coldplay ini mempunyai mudarat yang lebih besar kepada anak bangsa.

"Meskipun kumpulan ini telah memberi tajaan mesin perangkap sampah di sungai bagi membersihkan alam sekitar, tindakan membenarkan budaya hiburan melampau ini akan menjadi bom jangka kepada negara kita terutama buat anak muda yang jelas akan mengotorkan pemikiran mereka dengan budaya hedonisme," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut Hamdi yang juga Ketua Lajnah Dakwah Pemuda Pas Terengganu, pihaknya turut kecewa dengan kepimpinan utama negara yang mengalu-alukan kehadiran kumpulan rock ini tanpa menghiraukan masalah rakyat yang menghadapi tekanan ekonomi semasa.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat khususnya pemuda Terengganu untuk bersama-sama menolak kehadiran kumpulan ini.

"Kita juga menuntut pembatalan konsert ini daripada kerajaan yang menganggap diri mereka Madani," katanya.

Pada 9 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan kumpulan rock terkenal British, Coldplay yang akan menjayakan konsert mereka di Kuala Lumpur pada 22 November depan.

Harga tiket bagi konsert kumpulan itu juga telah diumumkan dalam laman web Go Live-Asia sebagai penjual rasmi tiket untuk persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.