Gaji wakil rakyat tidak cukup, dorong terlibat rasuah: Mujahid

Mujahid ketika menjadi panelis program Melayu Bermaruah vs Melayu Rasuah pada Selasa.
Mujahid ketika menjadi panelis program Melayu Bermaruah vs Melayu Rasuah pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Peruntukan gaji yang diberikan kepada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negara ini seolah-olah tidak mencukupi untuk mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, oleh sebab itu ramai dalam kalangan ahli politik mudah terdorong untuk terlibat dengan perbuatan rasuah.

“Bagi orang politik, godaan untuk melakukan rasuah sangat tinggi dengan alasan dia perlu menjaga kawasan pengundi, (perlu) beri kepada parti, sebab nanti nak jadi presiden, kena bagi kepada cawangan, bahagian. Macam mana nak naik (jadi presiden) kalau tiada fulus (duit).

“Jadi cara terbaik untuk dapat peluang beri khidmat lebih baik (kepada rakyat) ialah dengan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan apa yang dia mahu beri kepada rakyat.

“Namun apabila dah dapat, mungkin dia kata 50 peratus sahaja (beri kepada rakyat), selebihnya simpan untuk diri sendiri, dianggap komisyen dan sebagainya,” katanya pada program 'Melayu Bermaruah vs Melayu Rasuah' anjuran Aktivis Sejahtera pada Selasa.

Turut diundang menjadi panelis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan manakala Pengerusi Aktivis Sejahtera, Asmaalif Adam bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu Mujahid berkata, Malaysia seharusnya mencontohi beberapa negara yang memperuntukkan gaji yang tinggi kepada wakil rakyat supaya mereka boleh memberi perkhidmatan terbaik tanpa alasan kekurangan duit.

“Sebab itu antara negara yang memperuntukkan gaji yang tinggi kepada ahli Parlimen, supaya mereka boleh berkhidmat tanpa ada alasan tidak cukup duit ialah Singapura, rasuah di kalangan ahli politik di negara itu, hampir tiada.

Artikel Berkaitan:

“Alasan itu perlu dilihat penting, gaji menteri di Singapura dan Finland juga antara yang tertinggi supaya mereka tidak terlibat dengan rasuah, sebab dah cukup,” ujarnya.

Sementara itu, beliau yang juga ahli Parlimen Parit Buntar menjelaskan, antara faktor lain yang menjadikan seorang ahli politik itu terlibat dengan rasuah adalah perlu menyumbang kepada parti.

“Secara jujur sebagai ahli Parlimen yang mewakili Amanah, memang kita potong gaji untuk disumbangkan kepada parti secara telus, maknanya RM3,000 hingga RM4,000 sebulan (potong gaji), itu satu kaedah supaya tidak berlaku pembohongan dan manipulasi

“Kita juga menyokong usaha untuk mewujudkan Akta Pendanaan Politik kerana sememangnya sumbangan (dalam politik) amat diperlukan.

"Jadi jika betul sumbangan itu perlu, maka kena buat secara telus, dana itu masuk ke akaun parti dan declare kepada rakyat (supaya) mengelakkan dia mencari kepentingan lain untuk (lakukan) rasuah agar dapat beri kepada parti,” katanya.