[VIDEO] UMNO, Pas perlu bincang masa depan MN: Noh

Noh (dua dari kanan) menyampaikan WPP kepada salah seorang bapa penerima (tiga dari kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Penyerahan WPP PTPTN Parlimen Tanjong Karang di Dewan IPP Tanjong Karang pada Isnin.
Noh (dua dari kanan) menyampaikan WPP kepada salah seorang bapa penerima (tiga dari kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Penyerahan WPP PTPTN Parlimen Tanjong Karang di Dewan IPP Tanjong Karang pada Isnin.
A
A
A

TANJONG KARANG - UMNO dan Pas diminta untuk terus berunding dan mengadakan perbincangan sekali gus membuat ketetapan terbaik mengenai masa depan Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, empat pimpinan tertinggi masing-masing mewakili UMNO dan Pas diharap dapat mencari jalan penyelesaian dan terus mengadakan rundingan untuk kebaikan kedua-dua parti.

"Lebih baik empat wakil daripada UMNO dan Pas duduk berbincang dan mencari ketetapan sama ada setuju atau pun tidak MN ini diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Parlimen Tanjong Karang di Dewan Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang pada Isnin.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, UMNO dan Pas tidak boleh menafikan semangat MN telah berjaya menewaskan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

"Dua PRK kita kalah kepada PH iaitu di DUN (Dewan Undangan Negeri) Seri Setia dan Sungai Kandis.

"Bagaimanapun, apabila semangat MN ini semakin kuat, DUN Semenyih kita boleh menang.

"Malah, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai perjumpaan beliau bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempunyai niat baik demi kebaikan kedua-dua parti," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, UMNO diingatkan tidak meletakkan syarat seperti 'Puteri Gunung Ledang' sekiranya ingin bekerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, syarat diletakkan UMNO tidak memenuhi hasrat parti itu yang ingin bekerjasama bukan sahaja dengan UMNO tetapi Bersatu.