Malaysia di kedudukan ke-12 kualiti jalan raya terburuk di dunia

Malaysia tersenarai pada ranking ke-12 paling bawah daripada 59 negara dengan kualiti jalan raya yang terburuk.
Malaysia tersenarai pada ranking ke-12 paling bawah daripada 59 negara dengan kualiti jalan raya yang terburuk.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia tersenarai pada ranking ke-12 paling bawah daripada 59 negara dengan kualiti jalan raya yang terburuk.

Data tersebut dikeluarkan oleh firma pendidikan pemandu, Zutobi berdasarkan kajian bertajuk 'Worst and Best Roads-US and International Ranking'.

Menurut kajian itu, kualiti jalan raya di Malaysia jatuh lebih lima peratus dalam tempoh lima tahun lalu, dengan merekodkan jumlah kematian jalan raya kedua tertinggi sebanyak 22.76 bagi setiap 100,000 penduduk.

“Lebih 22 kematian jalan raya bagi setiap 100,000 orang telah berlaku di lebuh raya di Malaysia, sekali gus menjadi jumlah kematian kedua tertinggi di dunia selepas Arab Saudi,” katanya.

Data sama menunjukkan Kuwait turut tersenarai sebagai negara yang memiliki jalan raya terburuk dunia, diikuti Costa Rica, Georgia, Panama dan New Zealand.

Ujarnya, Kuwait mempunyai jumlah kematian trafik jalan raya ketiga tertinggi dengan 19 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.

Kajian berkenaan memberikan Malaysia skor keselamatan keseluruhan 3.32 daripada 10 berdasarkan empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya, dan saiz relatif rangkaian jalan raya.

Menurut data itu, negara jiran terdekat, Singapura pula mencatatkan skor keseluruhan tertinggi kualiti jalan raya iaitu 9.44 daripada 10 dengan kadar kematian jalan raya paling rendah iaitu 1.69 bagi setiap 100,000 penduduk.

Artikel Berkaitan:

Laporan berasingan oleh firma itu yang dikeluarkan pada Mei merekodkan Malaysia antara 10 negara di dunia yang paling berbahaya untuk memandu selain Thailand, India, Argentina, Amerika Syarikat (AS) dan Afrika Selatan.

Bagaimanapun Malaysia dilaporkan mempunyai bilangan kematian jalan raya paling rendah berkaitan alkohol dengan hanya 0.1 peratus, meskipun menjadi antara negara yang mempunyai tahap kepekatan alkohol darah paling longgar untuk pemandu iaitu 0.08 peratus.

Untuk rekod, Sinar Harian pada 9 Jun lalu pernah menyiarkan artikel berkenaan fenomena jalan rosak di Malaysia.

Rata-rata pengguna melahirkan rasa tidak puas hati dengan tahap kualiti jalan yang dikhuatiri boleh mengundang kemalangan.