Op Selamat: Lagi 260 kereta terbabit kecelakaan jalan raya

Sebanyak 260 buah kereta terlibat dalam kemalangan jalan raya pada hari keempat Op Selamat 20 sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.- Gambar hiasan
Sebanyak 260 buah kereta terlibat dalam kemalangan jalan raya pada hari keempat Op Selamat 20 sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.- Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 260 buah kereta terlibat dalam kemalangan jalan raya pada hari keempat Op Selamat 20 sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam laman rasminya di Facebook melaporkan, jumlah yang dicatatkan itu menjadikan kereta sebagai kenderaan paling banyak terlibat dalam kecelakaan jalan raya dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,528 buah.

Kata kenyataan itu, peratusan kemalangan membabitkan kereta adalah 73.7 peratus, satu jumlah yang begitu tinggi berbanding kenderaan lain.

Katanya, peratusan kedua tertinggi adalah melibatkan penunggang motosikal iaitu 12.4 peratus.

"Kemalangan melibatkan motosikal pada semalam adalah 47 buah, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jentera dua tayar itu kepada 256 buah," menurut kenyataan laman rasmi JSPT pada Isnin.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 20 buah kenderaan jenis pacuan empat roda (4x4) direkodkan dalam statistik kemalangan semalam.

Jelasnya, jumlah itu menjadikan keseluruhan kemalangan melibatkan kenderaan pacuan empat roda kepada 122 buah atau bersamaan dengan 5.9 peratus.

Sementara itu katanya, kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) pada operasi semalam adalah 17 buah, sekali gus menjadi penyumbang sebanyak 4.9 peratus kepada statistik Op Selamat 20 pada hari keempat.

Tambahnya lagi, sebanyak tujuh buah van terlibat dalam kemalangan pada semalam, diikuti lori (2 buah), bas (2 buah) serta sebuah teksi.

"JSPT menasihatkan agar semua pengguna jalan raya sentiasa peka semasa pemanduan bagi mengelak risiko terlibat dalam kemalangan," kata kenyataan itu lagi.