Gaji dah cukup, tak perlu projek 'masyuk': Saarani

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyelar dakwaan segelintir pihak bahawa beliau mencari kekayaan peribadi menerusi projek rintis perlombongan nadir lantanid di Mukim Kenering, Hulu Perak.

Beliau berkata, sebagai menteri besar, dirinya tidak akan membelakangkan kepentingan negeri dan rakyat hanya untuk memenuhi kepentingan sendiri.

"Adalah sedikit hasutan, kononnya (laksana projek lantanid) kerana masyuk (duit tepi).

"Tidak, Menteri Besar Perak tidak main benda itu, cukup dah gaji saya. Jangan ada sebarang pertuduhan bahawa Menteri Besar Perak gila nak jadi kaya dengan mencari gali lantanid, itu tidak benar.

"Saya akan kekal dengan cara saya, tidak akan berniaga, tak akan berlumba dengan rakyat Perak untuk cari kekayaan berdasarkan lantanid," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Perak Sejahtera 2030 Piala Menteri Besar Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Ujar beliau, projek lantanid diakui memang memberi hasil lumayan, namun kekayaan itu adalah untuk menambah pendapatan negeri bagi tujuan pembangunan dan kebajikan rakyat.

Katanya, kerajaan negeri pada masa ini memerlukan hasil pendapatan baharu bagi melaksanakan projek negeri seperti bantuan sekolah, baik pulih jalan dan pembangunan belia.

Artikel Berkaitan:

"Janganlah dimainkan isu ini kerana kerajaan negeri memerlukan pendapatan tambahan.

"Lantanid ini perlu dikeluarkan untuk jadi hasil baharu, kekayaan negeri Perak barulah dapat banyak duit dan kita dapat buat banyak benda. Tuhan dah keluarkan lantanid ini, tak kan lah nak dibiarkan begitu sahaja," katanya.

Pada Mei lalu, Saarani mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak yang diperoleh ketika kerja-kerja mengekstrak bijih timah di kawasan tersebut dikenal pasti cukup bernilai.

Kerja-kerja mencari gali dan melombong di kawasan itu sudah boleh dimulakan pada bila-bila masa selepas mendapat kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Hisamuddin Termidi sebelum ini mendedahkan, dianggarkan sebanyak 1.687 juta tan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bernilai lebih RM90.5 bilion mampu diperoleh kerajaan negeri melalui projek perlombongan lantanid.

Jumlah itu ialah sebahagian daripada anggaran kira-kira 15.2 juta tan metrik NR-REE bernilai sekitar RM700 bilion di seluruh negara yang dikenal pasti berdasarkan waktu dan harga semasa pada 2020.