Lantanid: Dua syarat terakhir dipatuhi untuk mula projek

Saarani mendengar aduan orang ramai sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia pada Selasa.
Saarani mendengar aduan orang ramai sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Dua syarat terakhir bagi kelulusan projek rintis perlombongan nadir lantanid di Mukim Kenering bernilai lebih RM90.5 bilion telah dipatuhi, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, syarat berkenaan iaitu Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) telah memperoleh kelulusan baru-baru ini.

Menurutnya, langkah seterusnya adalah di pihak kerajaan negeri membuat kelulusan terhadap kadar-kadar royalti serta ketetapan lain yang difikirkan perlu.

"Kalau dulu kita katakan sedang tunggu Kebenaran Merancang daripada Majlis Daerah Gerik, mereka pun sudah beri kelulusan bersyarat dengan dua syarat terakhir itu dipatuhi.

"Tetapi perkara ini masih perlu dibawa ke peringkat Exco, dalam masa tersekat ini kita akan luluskan untuk membolehkan syarikat berkenaan memulakan operasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia di sini pada Selasa.

Saarani berkata, mengikut jadual projek berkenaan sepatutnya dimulakan pada September ini.

"Kalau ikut ceritanya, sudah tidak ada masalah, tetapi terpulang kepada syarikat terlibat. Negeri lain sedang tunggu kita untuk memulakan projek ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Mei lalu, Saarani mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak yang diperoleh ketika kerja-kerja mengekstrak bijih timah di kawasan tersebut yang dikenal pasti cukup bernilai.

Sehingga Jun lalu, kerja-kerja melombong di kawasan itu belum dimulakan kerana masih dalam peringkat permohonan kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Hisamuddin Termidi sebelum ini mendedahkan, dianggarkan sebanyak 1.687 juta tan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bernilai lebih RM90.5 bilion mampu diperoleh kerajaan negeri melalui projek perlombongan lantanid.

Jumlah itu ialah sebahagian daripada anggaran kira-kira 15.2 juta tan metrik NR-REE bernilai sekitar RM700 bilion di seluruh negara yang dikenal pasti berdasarkan waktu dan harga semasa pada 2020.