Projek lantanid boleh mula bila-bila masa: Saarani

Saarani
Saarani
A
A
A

LENGGONG - Projek rintis perlombongan nadir lantanid di Mukim Kenering sudah boleh dimulakan pada bila-bila masa sahaja, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, kelulusan dasar di peringkat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah diberikan minggu lalu bagi membolehkan projek berkenaan dilaksanakan.

Bagaimanapun, perkara berkaitan bayaran royalti belum lagi dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

"Peringkat Exco kita sudah meluluskan lesen dan bersetuju dengan projek pilot itu, perkara tersebut telah diluluskan dalam mesyuarat Exco minggu lepas.

"Kemungkinan esok atau minggu ini akan luluskan minit (mesyuarat) dan daripada minit itu nanti, tindakan selanjutnya diambil oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

"Kalau ikutkan sudah tidak ada masalah dan projek itu boleh dilaksanakan sekarang," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata, tindakan selanjutnya bagi projek berkenaan adalah dibawah PTG bersama Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) selaku pemegang pajakan dan syarikat perlombongan bagi membincangkan perkara lain termasuk bayaran royalti.

"Tentang kadar royalti, itu semua di bawah PTG, mereka nanti akan duduk semeja membincangkan perkara-perkara seterusnya kerana ini melibatkan pilot projek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua syarat terakhir bagi kelulusan projek rintis perlombongan nadir lantanid bernilai lebih RM90.5 bilion itu telah dipatuhi iaitu Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP).

Pada Mei lalu, Saarani mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak yang diperoleh ketika kerja-kerja mengekstrak bijih timah di kawasan tersebut yang dikenal pasti cukup bernilai.

Sehingga Jun, kerja-kerja melombong di kawasan itu belum dimulakan kerana masih dalam peringkat permohonan kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Hisamuddin Termidi sebelum ini mendedahkan, dianggarkan sebanyak 1.687 juta tan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bernilai lebih RM90.5 bilion mampu diperoleh kerajaan negeri melalui projek perlombongan lantanid.

Jumlah itu ialah sebahagian daripada anggaran kira-kira 15.2 juta tan metrik NR-REE bernilai sekitar RM700 bilion di seluruh negara yang dikenal pasti berdasarkan waktu dan harga semasa pada 2020.