Projek lantanid: Pembangkang bimbang pencemaran radioaktif

Howard Lee ketika menyampaikan ceramah sempena program Jelajah Tolak BN PN di Kampung Manjoi, Ipoh pada malam Selasa.
Howard Lee ketika menyampaikan ceramah sempena program Jelajah Tolak BN PN di Kampung Manjoi, Ipoh pada malam Selasa.
A
A
A

IPOH - Wakil rakyat pembangkang meluahkan kebimbangan terhadap kelulusan melombong nadir bumi lantanid di Gerik oleh kerajaan negeri kerana dikhuatiri memberi kesan radioaktif seperti mana yang pernah berlaku di Bukit Merah, Menglembu suatu masa dahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, bukan sahaja kerajaan negeri akan mengeluarkan bahan mineral tersebut tetapi berhasrat untuk memproses sendiri di kawasan tersebut sebelum ia dijual.

Menurutnya, keadaan itu amat merisaukan kerana Perak pernah berdepan kes pencemaran radioaktif nadir bumi sekitar tahun 1980-an apabila ramai penduduk mengalami kesan kegiatan memproses bahan mineral berkenaan.

"Yang ini lain, dia terus nak korek (lombong). Selepas korek itu dia bersih dekat sana, lepas korek dan bersih dekat sana, dia nak buat tapisan di sana, nak proses di sana.

"Maksudnya ratusan kali ganda lebih teruk dan lebih radioaktif berbanding dengan apa yang berlaku dekat Menglembu.

"Kalau begitu lumayan hasil, kenapa benda ni sorok-sorok tak nak cerita betul-betul, kenapa perkara ini kita tak bawa untuk dilibat urus dengan rakyat negeri Perak dan kenapa benda benda ini tidak dibincangkan di TV?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena program Jelajah Tolak BN-PN di Kampung Manjoi di sini pada malam Selasa.

Jelas Howard Lee, ketika PH memerintah Perak, memang ada taklimat dibuat oleh beberapa agensi kerajaan berkaitan mengenai penemuan nadir bumi yang didakwa bakal mendatangkan hasil lumayan kepada negeri.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga bekas Exco kerajaan negeri berkata, bagaimanapun perkara tersebut tidak pernah dibincangkan di dalam mesyuarat Exco dan kerajaan negeri ketika itu tidak pernah memberi kelulusan untuk menjalankan kerja-kerja perlombongan di situ.

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi ketika sidang akhbar pada program itu berkata, memang tiada sebarang sesi libat urus bersama wakil rakyat pembangkang mengenai perlombongan nadir bumi lantanid di Gerik itu.

Menurutnya, pihak pembangkang akan membawa perkara tersebut di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November depan bagi mendapatkan penjelasan lanjut daripada kerajaan negeri.

Pada Isnin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, mengumumkan bahawa projek rintis perlombongan nadir lantanid di Mukim Kenering sudah boleh dimulakan pada bila-bila masa sahaja.

Beliau berkata, kelulusan dasar di peringkat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah diberikan minggu lalu bagi membolehkan projek berkenaan dilaksanakan.