Tak perlu pinda, Pelan Perak Sejahtera selari dasar Malaysia Madani

Saarani ketika menjawab soalan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin (PN-Chenderoh) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.
Saarani ketika menjawab soalan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin (PN-Chenderoh) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak berhasrat untuk meminda Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan Jun tahun lalu, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, pelan yang dirangka dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat Perak dan memacu pembangunan sosioekonomi seimbang itu adalah bertepatan dan selari dengan dasar kerajaan baharu, Malaysia Madani.

Malah menurutnya, lapan keperluan digariskan Malaysia Madani iaitu Ekonomi, Kewangan, Perundangan, Pendidikan, Kemasyarakatan, Kebudayaan, Bandar dan Luar Bandar adalah saling melengkapi dengan lima keperluan di bawah Perak Sejahtera 2030 iaitu keterjaminan makanan, pemilikan rumah, peluang pekerjaan yang berkualiti, pembangunan modal insan dan belia serta kesihatan dan kesejahteraan.

"Intipati kedua-dua pelan ini mempunyai hubung kait dan kejayaan pelaksanaan Perak Sejahtera 2030 akan turut menyumbang kepada pemerkasaan Malaysia Madani di peringkat negeri.

"Sungguhpun begitu, Pelan Perak Sejahtera 2030 yang bersifat dinamik akan sentiasa ditambah baik bagi mengikut keperluan dan senario semasa sekaligus menyokong segala usaha yang telah dirancangkan di peringkat persekutuan.

"Kerajaan negeri juga mengalu-alukan cadangan supaya program Wacana Pelan Perak Sejahtera 2030 dapat diintegrasikan dengan program wacana Malaysia Madani untuk memberi kefahaman yang lebih jelas berkenaan kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin (PN-Chenderoh) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Saarani berkata, Pelan Perak Sejahtera 2030 kini berada di atas landasan yang betul dengan pertumbuhan pelaburan tinggi, penyediaan peluang pekerjaan dan keterjaminan sekuriti makanan.

Katanya, kerajaan ketika ini berjaya menarik pelaburan yang menyediakan limpahan peluang pekerjaan tinggi antaranya menerusi pelaburan RM32 bilion bagi pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, pembinaan kilang baharu di Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan, Chemor serta pembinaan kilang pembuat komponen elektrik dan elektronik, XP Power Pte Ltd di Seri Iskandar.

"Dari segi jaminan makanan pula, kita telah beri tanggungjawab kepada SADC (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak) mengetuai jawatankuasa dan mereka telah berkolobrasi baik bersama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dengan mewujudkan Akademi Sekuriti Makanan," katanya.