Empat wilayah Ukraine sepakat sertai Rusia

Orang ramai di bandar Mariupol mengundi dalam referendum menyertai Rusia pada Jumaat lalu. - Foto EPA
Orang ramai di bandar Mariupol mengundi dalam referendum menyertai Rusia pada Jumaat lalu. - Foto EPA
A
A
A

KIEV - Puak pemisah Ukraine yang diiktiraf Kremlin mengisytiharkan kemenangan dalam undian referendum menyertai Rusia, perkhabaran terbaharu yang menimbulkan kemarahan Barat ketika Moscow memberi amaran bahawa ia boleh menggunakan senjata nuklear bagi mempertahankan wilayah berkenaan.

Pihak berkuasa pro-Rusia di wilayah Zaporizhzhia berkata, 93.11 peratus pengundi menyokong menyertai Persekutuan Rusia, menurut keputusan awal pada petang Selasa.

Di Kherson, satu lagi wilayah yang dikawal Moscow di selatan Ukraine, pegawai memaklumkan bahawa lebih 87.05 peratus pemilih menyokong referendum berkenaan selepas semua undi dikira.

Sementara itu, di wilayah timur Lugansk yang dikawal pemisah pro-Moscow menyaksikan lebih 98.42 peratus pengundi mahu menjadi sebahagian daripada Rusia.

Pegawai di wilayah Donetsk turut mendakwa kemenangan apabila 99.23 peratus memilih Moscow berbanding Kiev.

"Menyelamatkan orang di wilayah terlibat dalam referendum ini adalah tumpuan perhatian seluruh masyarakat kita dan seluruh negara," kata Presiden Rusia Vladimir Putin sambil menegaskan bahawa Moscow boleh menggunakan senjata nuklear strategik untuk menangkis percubaan Ukraine merampas kembali wilayah itu.

Sementara itu, jurucakap Putin, Dmitry Peskov berkata, keputusan undian akan mempunyai implikasi undang-undang 'radikal' dan referendum berkenaan juga akan membawa 'kesan dari segi keselamatan'.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba bagaimanapun menggandakan janji Kiev untuk mengusir keluar tentera Rusia.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, keputusan undian 'tidak akan mempunyai apa-apa pengaruh' di medan perang.

Ukraine dan sekutunya telah mengecam referendum berkenaan yang dianggap sebagai penipuan serta mengumumkan bahawa hasil undian itu tidak akan diiktiraf. - AFP