My #QuranTime bukti program agama dapat perhatian penonton

Namanzee ketika acara sidang media Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang diadakan di Kompleks Karangkraf, pada Selasa.
Namanzee ketika acara sidang media Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang diadakan di Kompleks Karangkraf, pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kejayaan melaksanakan rancangan harian My #QuranTime selama lebih dua tahun membuktikan bahawa program berbentuk keagamaan sememangnya mendapat perhatian tinggi daripada penonton di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, pengalaman menguruskan penyiaran rancangan tersebut yang sudah mencapai lebih 800 episod itu ternyata membuka mata terhadap potensi program sedemikian.

Daripada sudut media, anggapan kita adalah penonton hanya boleh bersama dengan program kita untuk beberapa ketika sahaja, contohnya untuk beberapa minggu atau beberapa bulan.

“Tapi My #QuranTime buktikan kita boleh tangkap perhatian penonton untuk jangka masa lebih panjang terutamanya bagi rancangan keagamaan.

“Jadi di sini kita belajar bahawa kandungan rancangan berbentuk spiritual yang bincang mengenai al-Quran dan hadis memang lagi banyak mendapat tempat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang diadakan di Kompleks Karangkraf di sini, pada Selasa.

Rancangan harian My #QuranTime yang mula disiarkan bermula 8 Jun 2020 di TV Alhijrah bakal mencapai 838 episod menjelang hari penganjuran Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang bakal berlangsung pada 8 Oktober ini.

Mengulas mengenai konvokesyen berkenaan, Namanzee berkata, ia merupakan satu majlis penting bagi meraikan penonton dan peserta yang setia bersama My #QuranTime selama lebih dua tahun ia diadakan.

Melalui majlis tersebut, beliau turut berharap agar ia menjadi pemangkin untuk penonton dan masyarakat secara umumnya bagi terus menghayati al-Quran dengan lebih mendalam dalam kehidupan harian mereka.

Artikel Berkaitan:

“Proses tadabbur ini merupakan proses yang berlaku berterusan. Cumanya kita melihat Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 sebagai nak meraikan satu proses tadabbur yang dilakukan selama berhari-hari selama dua tahun lebih.

“Ini juga boleh menjadi menjadi pemangkin kepada penonton agar mereka mendalami lebih banyak lagi ilmu yang kita boleh diperolehi daripada al-Quran dan menjadikan ia sebagai satu proses seumur hidup tanpa henti,” ujar beliau.