Pulau Pinang buat solat jenazah ghaib Yusuf al-Qaradawi

Sheikh Yusuf al-Qaradawi dilaporkan meninggal dunia di Qatar pada Isnin.
Sheikh Yusuf al-Qaradawi dilaporkan meninggal dunia di Qatar pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Seluruh surau dan masjid di Pulau Pinang diminta supaya mengadakan solat jenazah ghaib ke atas ulama tersohor dunia, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi yang meninggal dunia pada Isnin.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya menyeru agar solat tersebut diadakan selepas solat Isyak malam Selasa.

"Solat jenazah ghaib ini diadakan khusus sebagai penghormatan terakhir kepada Syeikh Yusuf Al-Qaradawi, tokoh yang banyak berjasa kepada umat Islam khusus dalam pembangunan pendidikan, kerohanian dan dakwah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Yusuf al-Qaradawi yang meninggal dunia pada usia 96 tahun itu telah meninggalkan legasi penulisan yang kini menjadi rujukan kepada umat Islam di serata dunia.

Beliau mengarang lebih 120 buku dalam bidang keilmuan Islam terutama sosial, dakwah dan pengajian Islam.

Bukunya sangat diminati, malah diulang cetak berpuluh kali dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

Allahyarham dilahirkan di Mesir tetapi menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Qatar, di mana beliau menetap sehingga akhir hayatnya.

Beliau juga adalah pemimpin Ikhwanul Muslimin, pergerakan sosio politik Islam yang mencetuskan revolusi Mesir pada 2011.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham hidup di Qatar dalam buangan selepas tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013, mengakibatkan beliau dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati tanpa hadir di Mesir.