Pembenihan awan di Pulau Pinang dijangka bermula akhir April

Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam menyusut sebanyak 37.7 peratus sejak 1 Januari lalu.
Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam menyusut sebanyak 37.7 peratus sejak 1 Januari lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Operasi pembenihan awan di Pulau Pinang dijangka dilaksanakan pada akhir bulan ini dengan sasaran kawasan tadahan air di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K Pathmanathan berkata, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) telah memohon kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalankan operasi tersebut.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengesyorkan jangka masa dari 29 April hingga 7 Mei untuk gelombang pertama operasi yang akan dijalankan di Pulau Pinang bagi tahun ini.

"Keadaan cuaca harus sesuai untuk memaksimumkan kesan operasi pembenihan awan.

"Objektif utama pelaksanaan pembenihan hujan ini adalah untuk mendorong hujan lebat di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang. Hujan lebat diperlukan untuk mengisi semula empangan ini dengan air mentah sebanyak mungkin," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata beliau, status kapasiti efektif Empangan Air Itam sehingga 24 April adalah 44.8 peratus berbanding 82.5 peratus pada 1 Januari lalu.

"Bagi tempoh sama, kapasiti efektif bagi Empangan Teluk Bahang adalah 48.6 peratus pada 24 April dan 64 peratus pada Januari. Ini menunjukkan, kapasiti efektif Empangan Air Itam menyusut 37.7 peratus manakala Empangan Teluk Bahang 15.4 peratus sejak 1 Januari lalu.

"Ini kerana, jumlah hujan yang rendah (berkaitan dengan perubahan iklim) di kawasan tadahan air dan permintaan air yang tinggi di Pulau Pinang pada tahun ini," katanya.

Pathmanathan
Pathmanathan

Jelas beliau, paras simpanan Empangan Air Itam telah berkurangan dengan peratusan yang lebih tinggi sejak 1 Januari lalu kerana kapasiti efektif maksimumnya ialah 2,160 juta liter (ML) berbanding kapasiti efektif maksimum Empangan Teluk Bahang sebanyak 19,240 ML.

"Kedua-dua empangan tidak diisi semula kepada kapasiti 100 peratus pada penghujung tahun 2022 kerana hujan yang rendah di kawasan tadahan air tahun lalu. Kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP mengharapkan kejayaan operasi pembenihan awan ini.

"Kerajaan negeri telah meluluskan bajet RM400,000 untuk membiayai operasi pembenihan awan. Proses ini akan mengambil masa beberapa hari selepas misi pembenihan awan TUDM dijalankan untuk hujan berlaku dan air hujan mengalir ke empangan," katanya.

Pathmanathan berkata, pihaknya juga boleh memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Pulau Pinang untuk membiayai gelombang kedua operasi pembenihan awan tambahan bagi menambah rizab empangan Pulau Pinang namun ia bergantung kepada keputusan dan keadaan.

"PBAPP berharap pengguna air domestik (isi rumah) Pulau Pinang turut memainkan peranan dengan menggunakan air secara berhemat sehingga rizab Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang diisi semula ke tahap selamat.

"Pada tahun lalu, kira-kira 61.5 peratus daripada jumlah penggunaan air Pulau Pinang iaitu sebanyak 868 juta liter sehari (JLH) merupakan penggunaan air domestik. Pada Februari lalu, jumlah penggunaan air di Pulau Pinang meningkat lagi kepada purata 944 JLH.

"Oleh itu, kita ingin menggesa semua pengguna air Pulau Pinang untuk mengurangkan penggunaan air harian mereka dengan mengamalkan langkah penjimatan air antaranya elakkan menggunakan hos seboleh mungkin, kurangkan kekerapan mencuci kereta atau motosikal serta baiki semua paip, pili atau sistem tandas yang bocor dengan segera," katanya.