Pakai lampin seumur 'hidup' selepas jatuh pokok kelapa

Siti Nur Zaiain menunjukkan keadaan tulang belakang Mohamad Amirul Aiman yang terpaksa bergantung kepada lapan skru untuk menyokong struktur badannya.
Siti Nur Zaiain menunjukkan keadaan tulang belakang Mohamad Amirul Aiman yang terpaksa bergantung kepada lapan skru untuk menyokong struktur badannya.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang pemuda berusia 27 tahun di Kampung Tok Derpah, Alor Pasir di sini terpaksa memakai lampin pakai buang seumur hidup selepas terjatuh daripada pokok kelapa pada ketinggian 10 meter pada April lalu.

Lebih menyedihkan kejadian itu turut menyebabkan tulang belakang bapa kepada lima orang anak itu hancur sehinggakan terpaksa bergantung kepada lapan skru untuk menyokong struktur badannya.

Mohamad Amirul Aiman berkata, sejak itu dia sukar untuk mengawal pembuangan air kecil dan besar sehingga memaksanya memakai lampin pakai buang sepanjang masa.

"Saya sudah boleh berjalan walaupun perlahan. Namun sukar untuk berdiri lama akibat masalah saraf.

"Disebabkan itu saya hilang upaya untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Sebelum ini saya bekerja sebagai buruh binaan dan pada masa sama mengambil upah memetik kelapa," katanya pada Selasa.

Sebelum itu, Mohamad Amirul Aiman menerima kunjungan Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) yang diketuai oleh Ketua Unit Media dan Komunikasi, Akidi Hamid.

Dalam kunjungan tersebut, KELSS telah menyampaikan bantuan lampin pakai buang dan barang keperluan dapur bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan.

Keluarga Mohamad Amirul Aiman semasa menerima kunjungan KELSS yang diwakili oleh Akidi (kanan) di rumah mereka di Kampung Tok Derpah, Alor Pasir, Pasir Mas.
Keluarga Mohamad Amirul Aiman semasa menerima kunjungan KELSS yang diwakili oleh Akidi (kanan) di rumah mereka di Kampung Tok Derpah, Alor Pasir, Pasir Mas.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Amirul Aiman berkata, sejak tidak dapat keluar bekerja mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600.

Menurutnya, isteri, Siti Nur Zaiain Zabidin, 30, tidak bekerja dan tiga daripada lima anaknya yang berusia 2 hingga 12 tahun masih bersekolah.

Dia berkata, disebabkan bantuan bulanan tidak mencukupi anak-anaknya hanya ke sekolah bila ada duit belanja.

"Saya sedih bila anak-anak tidak dapat ke sekolah kerana kami sudah kehabisan duit belanja.

"Hendak bawa bekal, barangan dapur yang ada cukup untuk kegunaan harian sahaja dan kami sering mencatu makanan bagi mengelakkan kelaparan," ujarnya.

Dia sentiasa berdoa dan berharap diberi kesembuhan segera supaya dapat keluar bekerja seperti sediakala.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 03102020262417.