PM berani, realistik: Mohd Salim

Mohd Salim
Mohd Salim
A
A
A

SHAH ALAM - Gesaan yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melakukan reformasi menerusi penghapusan kuasa veto terhadap lima buah negara yang menjadi anggota tetap majlis keselamatan pertubuhan itu disifatkan sebagai tindakan berani dan realistik.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, gesaan yang dibuat pemimpin utama negara itu bagi mengembalikan PBB kepada landasan asal penubuhannya.

“Majlis Keselamatan PBB yang dianggotai negara berkuasa veto umpama barah di dalam tubuh kerana bercanggah dengan nilai demokratik dan bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia.

“Ketidakadilan sistem kuasa veto telah menunjukkan bahawa keamanan dan kestabilan dunia hanyalah suatu ilusi semata-mata.Krisis yang melanda di bumi Palestin sejak sekian lama dan keadaan di Ukraine telah menuntut reformasi ini dilaksanakan dengan segera kerana kesannya turut dirasai seluruh dunia.

“Konflik tersebut bukan sahaja mendatangkan kesan kepada negara yang terlibat tetapi telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan sekuriti makanan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Salim yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berkata, seruan Ahli Parlimen Bera itu terhadap komuniti antarabangsa supaya melaksanakan peranan masing-masing sebagai sebuah keluarga besar atau ‘Keluarga Dunia’ juga wajar disokong dan dipuji bagi memupuk keazaman untuk mewujudkan suasana dunia yang lebih harmoni di hari mendatang.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Mohd Salim turut berkongsi kegembiraan dengan kejayaan Ismail Sabri melakar sejarah menjadi pemimpin tertinggi negara pertama yang berucap menggunakan bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York, Amerika Syarikat.

Jelasnya, perkara ini bukan sahaja merakam sejarah baharu bahasa Melayu di pentas perhimpunan diplomatik terbesar tetapi juga telah menunjukkan keseriusan dan ketegasan beliau selaku pemimpin utama negara yang komited mengangkat martabat bahasa Melayu di persada dunia.

Artikel Berkaitan:

“Beliau yang tampil segak serba lengkap berbaju Melayu hitam semasa melangkah masuk ke dewan utama serta delegasi negara yang turut mengenakan pakaian baju kebangsaan dan batik Malaysia telah mencuri tumpuan delegasi lain,” katanya.