Mohd Salim harap keputusan rayuan gantung keahlian UMNO sebelum PRN

Mohd Salim
Mohd Salim
A
A
A

JEMPOL - Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif tetap turun berkempen membantu Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti biarpun masih belum menerima keputusan terhadap rayuan penggantungannya sebagai ahli UMNO.

Katanya, masih setia dengan parti itu walaupun tidak menjadi wakil rakyat kini, beliau tetap mahu berbakti kepada masyarakat termasuklah menyantuni pengundi muda di kawasan Parlimen Jempol.

"Setakat ini belum ada keputusan (rayuan), harapnya sebelum PRN lah, lebih baik begitu sebab itu lebih selesa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Salim antara empat yang diumumkan penggantungan selama enam tahun sebagai ahli UMNO sebelum ini, termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dipecat daripada UMNO.

Pada Jun lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parti itu sentiasa terbuka menerima kembali ahlinya yang sebelum ini digantung atau dipecat.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd Salim sudah menghantar surat rayuan untuk dilepaskan daripada penggantungan terhadapnya pada Januari lalu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan ia akan diputuskan kepimpinan UMNO di peringkat pusat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohd Salim berkata, beliau berharap rakyat dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN ini.

"Apa yang penting undi ini hanya lima tahun sekali, inilah masanya untuk kita membentuk kerajaan. Ia juga pertama kalinya kita bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Madani.

"Saya yakin dan percaya akan ada banyak pembangunan bakal diperolehi di Negeri Sembilan kerana banyak kawasan-kawasan yang perlu kita bangunkan.

"Kalau di Jempol ini banyaknya dan dipenuhnya oleh peneroka Felda, orang kampung yang memerlukan pembangunan," katanya.

Katanya, kestabilan politik ini sudah tentu memberi kesan terhadap pelabur luar,mana-mana negara pun begitu sekali gus memberi peluang kepada generasi baru untuk memperolehi pekerjaan di sini tanpa perlu berhijrah ke luar.