Lori tanah ancam keselamatan penduduk

Penduduk melakukan bantahan secara aman dan menggesa pemaju agar tidak membenarkan lori-lori menggunakan laluan berhampiran kawasan perumahan mereka. Gambar kecil: Rosli
Penduduk melakukan bantahan secara aman dan menggesa pemaju agar tidak membenarkan lori-lori menggunakan laluan berhampiran kawasan perumahan mereka. Gambar kecil: Rosli
A
A
A

TASEK GELUGOR - Penduduk sekitar Taman Pokok Sena Indah di sini resah apabila laluan utama di kawasan perumahan itu digunakan ratusan lori muatan tanah setiap hari hingga mengancam keselamatan mereka.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pokok Sena Indah, Shamsuddin Mohd Yusoff mendakwa, masalah berkenaan bermula sejak kerja-kerja pembinaan perumahan baharu dilakukan berhampiran kawasan itu sekali gus menyebabkan kualiti hidup penduduk sekitar terjejas.

Menurutnya, seawal jam 7 pagi ratusan lori akan melalui kawasan perumahan mereka menuju ke tapak pembinaan sedangkan ketika itu laluan terbabit sibuk digunakan penduduk yang keluar ke tempat kerja termasuk menghantar anak-anak ke sekolah.

"Lori yang menggunakan laluan ini kebanyakan dipandu laju mungkin disebabkan mereka mengejar 'trip' dan ia amat mengancam keselamatan kami.

"Selain khuatir akan keselamatan penduduk di sini, kehadiran lori-lori ini menyebabkan jalan berhampiran perumahan kami kotor dan rosak, perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan lagi," katanya ketika ditemui selepas mengadakan bantahan secara aman di hadapan taman perumahan mereka pada Isnin.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Permatang Indah, Rosli Ismail pula berkata, walaupun ada laluan alternatif lain yang boleh dilalui, namun pemandu lori mengambil jalan mudah menggunakan jalan digunakan penduduk.

Beliau berkata, penduduk di sini tidak membantah sebarang pembangunan yang ingin dilakukan oleh pihak pemaju, namun mengharapkan timbang rasa daripada mereka agar turut sama memikirkan keselamatan serta risiko terhadap orang ramai.

"Bukan kita tidak pernah mengajukan masalah ini kepada pemaju, namun mereka seperti acuh tak acuh sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kami harapkan pihak berkuasa tempatan ataupun pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor berkata, beliau telah pun berbincang dengan syarikat pemaju mengenai masalah itu termasuk meminta lori-lori mereka menggunakan laluan alternatif lain yang merupakan tanah milik mereka sendiri

Jelasnya, isu yang dihadapi penduduk akan diselesaikan secepat mungkin termasuk akan memanggil pengurusan syarikat pemaju, Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Jabatan Kerja Raya bagi mencari penyelesaian terbaik kepada semua pihak.