Trafik sesak di laluan utama, masuk lebuh raya

Paparan semasa kamera litar tertutup (CCTV) di laman sesawang LLM menunjukkan aliran trafik sesak di Genting Sempah.
Paparan semasa kamera litar tertutup (CCTV) di laman sesawang LLM menunjukkan aliran trafik sesak di Genting Sempah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa laluan utama pusat bandar dan laluan masuk ke lebuh raya keluar Lembah Klang dilaporkan mula sesak sejak petang Selasa dipercayai susulan warga kota mula pulang ke kampung sempena cuti Hari Raya Aidiladha.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi ciapan di Twitter sejak jam 8 malam melaporkan trafik perlahan di beberapa laluan termasuk dari arah timur Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak sebelum masuk Plaza Tol Karak.

Trafik juga bergerak perlahan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 di Kilometer 25.7 ke Genting Sempah.

Di Lebuhraya SPRINT, trafik perlahan dari Seksyen 16 ke Kayu Ara, Persimpangan Bukit Kiara ke Semantan, Plaza Tol Pantai ke Lebuhraya Persekutuan, dan Bukit Kiara ke Duta.

Salah seorang pengguna Twitter @amalinakaman juga memaklumkan kesesakan berlaku seperti kelaziman trafik pada waktu petang hari Jumaat.

Bagaimanapun seorang lagi pengguna Twitter @AliffJazli memaklumkan rata-rata kesesakan berlaku hanya sekitar dalam pusat bandar, dan mulai lancar apabila masuk ke lebuh raya.

Ciapan oleh @vsxkkkk pula memaklumkan semua laluan masuk ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) juga mengalami kesesakan.

Aliran trafik dijangka bertambah dari masa ke semasa.