Jalan rosak di Felda Pasoh ancam keselamatan pengguna

Jalaluddin (empat dari kiri) melihat keadaan jalan Felda Pasoh yang rosak
Jalaluddin (empat dari kiri) melihat keadaan jalan Felda Pasoh yang rosak
A
A
A

JELEBU - Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera membaik pulih jalan utama perkampungan Felda Pasoh 1 dan Pasoh 4(FT1281) di sini yang telah rosak sejak 7 Januari lalu.

Beliau berkata, pusat khidmatnya telah membuat permohonan baik pulih jalan tersebut kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Jelebu melalui surat pada 16 Januari lalu.

"Pada 27 Januari, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Jelebu telah memberi maklum balas telah mengemukakan permohonan kerja penyelenggaraan di lokasi aduan melalui cadangan kerja berkala bukan Pavemen (Luar Jangka/ One Off) bagi tahun 2023.

"Sepanjang tempoh tersebut juga, saya telah melakukan beberapa siri perbincangan bersama pihak berkaitan, termasuklah permohonan kepada pihak JKR Negeri Sembilan agar proses ini dapat dipercepatkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada sebarang proses dilakukan pihak berwajib untuk menyelesaikan aduan terbabit.

Tambahnya, bagi memastikan keselamatan kira-kira 4,000 pengguna jalan berkenaan, penduduk telah mengambil inisiatif meletakkan kon sebagai tanda amaran.

"Kebimbangan mereka bukan semata-mata kerana jalan berkenaan rosak atau berlubang tetapi juga disebabkan tiada lampu jalan di kawasan itu.

"Saya mengambil serius isu ini dan meminta pihak bertanggungjawab untuk menyegerakan tindakan baik pulih jalan berkenaan, demi menjaga keselamatan dan keselesaan penduduk setempat," katanya.

Ujarnya, pihaknya dimaklumkan kerja-kerja baik pulih akan bermula pada 3 Julai ini.