Doktor rugi RM30,000 ditipu sindiket Macau Scam

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Disebabkan bimbang kesemua aset miliknya dibekukan selepas didakwa tidak hadir ke mahkamah, seorang doktor mengalami kerugian sebanyak RM29,997 akibat terpedaya tipu helah anggota sindiket Macau Scam, Jumaat lalu.

Mangsa berusia 31 tahun, didakwa kononnya mempunyai tunggakan kad kredit Hong Leong Bank berjumlah RM8,795 oleh anggota sindiket terbabit dan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, perkara itu diketahui mangsa selepas menerima panggilan yang mendakwa wakil daripada mahkamah berhubung ketidakhadirnya, pada ‪jam 5‬ petang, dua hari lalu.

Menurutnya, mangsa menafikan perkara itu dan suspek kemudian disambungkan panggilan kepada pegawai yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Melaka.

"Mangsa kemudian bercakap dengan seorang wanita yang dikenali Sarjan Kamalia Yusof dan turut dimaklumkan bahawa mangsa mempunyai satu kes penggubalan wang haram serta terlibat dengan sindiket dadah.

"Suspek (Kamalia) memberitahu pihaknya sudah merujuk perkara itu dengan Kementerian Dalam Negeri dan mengenal pasti kes berkenaan wujud," katanya dalam satu kenyataan.

Tidak terhenti di situ, Mohd Wazir berkata, suspek kemudian menyambungkan talian kepada seorang lelaki yang bernama Lokman yang didakwa sebagai pegawai penyiasat dalam kes itu.

Jelasnya, mangsa didakwa telah bersubahat dengan geng Michael Lim iaitu seorang pengurus bank yang sama terlibat dengan sindiket dadah.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu, Lokman menyambung talian kepada pegawai tertinggi yang dikenali Tuan Alex. Tuan Alex telah memarahi mangsa seolah-olah dirinya (mangsa) seorang penjenayah dan mengugut bahawa semua aset-aset miliknya akan dibekukan.

"Tuan Alex kemudian menyuruh pengadu memindahkan RM29,997 ke akaun juru audit bernama Latif Kia dan hari ini Tuan Alex sekali lagi menyuruh pengadu memindahkan wang RM3,000 kepada akaun RHB," katanya.

Mohd Wazir berkata, disebabkan mangsa merasakan dirinya telah ditipu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.