Guru dapat semula jawatan selepas dipecat tidak hadir 1,535 hari

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang guru, yang dipecat pada 2019 selepas tidak hadir ke sekolah selama 1,535 hari kerana fobia air, hari ini kembali menyandang jawatannya sebagai tenaga pengajar dalam perkhidmatan perguruan.

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, K Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan kehakiman Yahaya Wahi, 44, untuk membatalkan pemecatannya dan dilantik semula sebagai guru di sekolah yang boleh dilalui oleh jalan darat.

Guru Sains dan Matematik itu menamakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tan Sri Khair Mohamad Yusof, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak, Jabatan Pendidikan Perak, Kementerian Pendidikan dan kerajaan sebagai responden.

Pada prosiding hari ini, Muniandy memutuskan bahawa keputusan responden untuk menamatkan kerjaya perguruan Yahaya dan memecatnya daripada berkhidmat dengan kerajaan adalah tidak wajar, tidak rasional, tidak berkadaran serta tidak sah dari segi prosedur.

"Justeru, permohonan semakan kehakiman guru ini untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden menamatkan kerjaya perguruannya dan memecat beliau daripada berkhidmat dengan kerajaan Malaysia adalah dibenarkan,” katanya.

Hakim itu berkata, apabila melihat kes tersebut secara objektif, didapati pelajar telah dinafikan akses kepada seorang guru Sains dan Matematik yang baik kerana pihak berkaitan gagal mengambil tindakan sewajarnya.

"Isu yang penting di sini ialah sama ada permohonan beliau untuk bertukar ke sekolah yang boleh dilalui oleh jalan darat telah diberikan pertimbangan sewajarnya. Jika ini berlaku, perkhidmatan perguruan beliau dalam subjek sains dan matematik akan memanfaatkan sekolah serta pelajar.

"Ini menimbulkan persoalan apa sebenarnya yang bermain di fikiran pihak yang menyelia bidang pendidikan sehingga sanggup menafikan akses pelajar kepada seorang guru Sains dan Matematik yang berdedikasi seperti Yahaya apabila mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya.

"Yahaya tidak diselubungi isu tatatertib sebaliknya berdepan masalah kesihatan teruk yang menghalang beliau daripada mengajar di sebuah sekolah di pedalaman Gerik, yang memerlukan perhatian dan tindakan segera pihak responden,” katanya sambil menambah guru itu juga tidak dimaklumkan mengenai hak beliau untuk merayu kepada Lembaga Rayuan Tatatertib.

Yahaya, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Sains dan Komputer dengan Pendidikan (Fizik) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mula mengajar subjek Sains dan Matematik pada 15 Januari 2002.

Beliau memulakan kerjaya perguruannya di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor selama enam tahun sebelum berkhidmat di Gerik dan secara keseluruhan, memiliki pengalaman hampir 18 tahun dengan rekod prestasi yang cemerlang.

Pada 2007, Yahaya memohon bertukar ke mana-mana sekolah di Gerik untuk berada dekat dengan isterinya yang juga seorang guru serta anak mereka selain berhampiran negeri Kelantan bagi membolehkan beliau tidak berjauhan dengan ibunya yang sudah tua.

Permohonan beliau diluluskan dan Yahaya mengajar di dua sekolah di Gerik sebelum ditukarkan ke SK RPS Kemar, yang terletak di pedalaman Gerik, pada 16 Disember 2012.

Bagaimanapun, beliau gagal melaporkan diri dan hanya berbuat demikian pada 3 April 2013 serta mula mengajar pada 16 Mei 2017.

Dilema Yahaya bermula apabila beliau terpaksa menyeberang tasik untuk ke sekolah dengan menaiki bot dan ini menyebabkan guru itu berasa tertekan kerana mengalami fobia air selepas hampir lemas semasa kanak-kanak manakala abangnya meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

Beliau telah menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan di Sungai Petani, Kedah dan dirujuk ke Jabatan Psikiatri untuk penilaian lanjut pada 2015.

Selain itu, terdapat laporan perubatan dari Hospital KPJ Ipoh pada 2017 daripada pakar psikiatri perunding mengenai keadaan beliau.

Susulan fobia itu, Yahaya tidak hadir ke sekolah selama empat tahun dari 3 April 2013 hingga 16 Mei 2017 namun beliau kembali mengajar setelah menjumpai jalan darat untuk ke tempat kerjanya.

Bagaimanapun, Pengetua SK RPS Kemar, Gerik telah memulakan tindakan tatatertib terhadap Yahaya dan pada 10 April 2019, guru itu menerima surat yang memaklumkan perkara itu.

Menurut Yahaya, beliau telah cuba berunding dengan pihak yang berkaitan dan memohon untuk bertukar sekolah namun tidak diendahkan.

Yahaya kemudian dipecat daripada perkhidmatan perguruannya pada 9 Ogos 2019 dan semua emolumen beliau dihentikan mulai 6 Ogos tahun yang sama. - Bernama