Amaran kepada musuh UMNO

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkeyakinan tinggi dalam memimpin jentera parti ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi milik Pengerusi BN itu, beliau dengan lantang memberi amaran kepada musuh-musuh UMNO mengenai ramalan dalam PRU15.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyatakan bahawa PRU15 akan menjadi mimpi ngeri buat musuh-musuh UMNO terutamanya bekas-bekas pemimpin yang melompat keluar meninggalkan parti berkenaan.

Beliau berkata, bekas pemimpin UMNO yang melompat parti akan dihukum oleh pengundi mereka sendiri, malah kini ramai dalam kalangan golongan itu takut tewas dan ditolak rakyat kerana prestasi buruk di kawasan masing-masing.

Menariknya, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibuat selepas sehari beliau dibebaskan atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Besar kemungkinan harapan UMNO untuk kembali bangkit dalam PRU15 semakin cerah susulan melihat keputusan mahkamah berpihak kepada Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, parti Bersatu di bawah pimpinan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersetuju untuk mengadakan PRU15 dalam masa yang terdekat.

Muhyiddin berkata, banyak perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan berbanding isu pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, apa yang menjadi keutamaan pada ketika ini adalah tindakan kerajaan dalam memulihkan serta menstabilkan ekonomi rakyat dan juga negara.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mempunyai pendapat yang sama dengan Muhyiddin.

Beliau yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) berkata bahawa waktu paling sesuai diadakan PRU15 adalah dalam keadaan negara tenang dan bebas daripada sebarang bencana seperti banjir.

Jelasnya, jika pilihan raya diadakan pada musim banjir, ia akan menyukarkan banyak pihak termasuk rakyat.