Padah apabila halal haram dibuat main-main

ISU halal dan haram bukan perkara yang boleh dipandang ringan, apatah lagi dijadikan jalan mudah untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesannya terhadap pengguna.
Hal ini terbukti apabila taktik merendam ayam dalam air berarus elektrik sebelum disembelih terbongkar menerusi serbuan di sebuah gudang di Puchong, Selangor, seperti dilaporkan Sinar Harian pada 30 Oktober lalu.
Serbuan menerusi Op Taring Chiller pada tengah malam itu membawa kepada penahanan 12 lelaki warga asing serta rampasan 6,555 kilogram ayam mentah yang dianggarkan bernilai RM85,400.
Terbaharu, kes berkenaan memasuki perkembangan baharu apabila sebuah syarikat pembekalan ayam, dua pengarah, seorang pengurus dan seorang pekerjanya didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa atas kesalahan berkaitan pembekalan ayam yang didakwa diperdayakan sebagai halal.
Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan kes akan melalui proses perbicaraan.
Mengikut pertuduhan, pengarah syarikat, Zafirah Karim, 36, yang juga warga tempatan, seorang lagi pengarah warga Bangladesh, Tanjena Akter Mollah, 35, dan pengurus warga Bangladesh, Hossain Saddam, 34, didakwa atas kapasiti jawatan masing-masing membekalkan 6,555 kilogram ayam yang disembelih dan diproses dengan representasi yang boleh memperdayakan mana-mana orang bahawa makanan berkenaan halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong pada jam 12.45 tengah malam, 30 Oktober lalu.
Kes ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa soal halal bukan sekadar memenuhi permintaan pasaran atau meletakkan logo pada bungkusan produk untuk menarik perhatian pembeli.
Sebaliknya, ia membabitkan amanah besar kerana pengguna Islam bergantung kepada keyakinan bahawa makanan yang dibeli dan dihidangkan kepada keluarga benar-benar menepati hukum syarak.
Bayangkan, ayam yang dibeli dengan penuh keyakinan untuk dijadikan hidangan keluarga rupa-rupanya mempunyai keraguan dari sudut proses penyembelihannya.
Lebih membimbangkan, pengguna mungkin langsung tidak mengetahui perkara itu kerana mereka hanya bergantung kepada maklumat dan jaminan yang diberikan oleh pengusaha serta pembekal.
Hakikatnya, pengguna tidak sepatutnya dibebankan dengan kebimbangan sama ada makanan yang dibeli itu benar-benar halal atau sebaliknya.
Mereka berhak mendapatkan jaminan bahawa setiap produk yang dipasarkan memenuhi tuntutan agama dan peraturan ditetapkan.
Jangan tunggu sehingga berpuluh ribu ekor ayam diproses atau pengguna menjadi mangsa sebelum tindakan diambil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

