Ikan asing ancam ekosistem sungai

IKAN peliharaan daripada spesies asing yang tidak lagi dikehendaki tidak seharusnya dilepaskan ke sungai, tasik atau empangan kerana boleh mengancam ekosistem akuatik, khususnya apabila spesies berkenaan membiak di habitat baharu.
Tindakan yang dianggap sebagai jalan mudah itu boleh menyebabkan ikan tempatan terpaksa bersaing dengan spesies asing untuk mendapatkan makanan dan ruang hidup, sekali gus menjejaskan keseimbangan ekosistem.
Isu penyebaran ikan asing di perairan negara kembali menjadi perhatian susulan penemuan ikan menyerupai piranha di Empangan Klau, Raub, Pahang.
Susulan penemuan itu, Program Mitigasi Ikan Asing Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) yang diadakan di empangan berkenaan pada 24 dan 25 Oktober lalu merekodkan tangkapan 156.586 kilogram (kg) ikan asing yang terdiri daripada peacock bass, tilapia zebra dan lampam Jawa.
Sinar Harian pada 25 Oktober lalu melaporkan tiada piranha ditemukan, manakala kira-kira 43kg ikan tempatan termasuk toman, lampam sungai, patung dan sia turut ditangkap.
Bagaimanapun, jumlah ikan asing ditangkap itu hanya mencerminkan hasil tangkapan sepanjang program mitigasi, bukan keseluruhan populasi spesies berkenaan di Empangan Klau.
Ancaman ikan asing bukan sahaja dikesan di Pahang, malah turut berlaku di beberapa negeri lain.
Di Perak, hampir 4,000 ekor ikan asing dengan berat keseluruhan 954.26kg ditangkap di Sungai Galah, Kampung Gajah, membabitkan ikan bandar raya, baung ekor merah dan patin Chao Phraya.
Program mitigasi di Sungai Karang, Hulu Selangor pada Ogos lalu pula merekodkan tangkapan 26 ekor baung ekor merah seberat 268.9kg.
Dalam tempoh lebih panjang, Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) Malaysia merekodkan tangkapan kira-kira 75 tan ikan bandar raya di Semenanjung Malaysia dari penghujung 2023 hingga Disember 2025.
Terbaharu, Program Pahang 1st Tawan Baung Ekor Merah Fest merekodkan tangkapan 137 ekor ikan baung ekor merah dengan berat keseluruhan 1,046.66kg di tujuh lokasi.
Mengenai ancaman itu, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, ancaman ikan asing invasif seperti baung ekor merah memerlukan tindakan berterusan dan kerjasama semua pihak bagi melindungi ekosistem perairan darat.
Hasil tangkapan di pelbagai lokasi itu menunjukkan usaha menangani ancaman ikan asing tidak boleh hanya bergantung pada operasi mitigasi, sebaliknya memerlukan pemantauan berterusan serta langkah pencegahan bagi mengekang penyebarannya.
Persoalannya, bagaimana spesies ikan asing boleh tersebar ke perairan di luar habitat asalnya?
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader pada 6 November lalu berkata, aktiviti manusia dan akuakultur antara punca penyebaran spesies akuatik invasif, termasuk pelepasan ikan peliharaan serta organisma ternakan terlepas akibat banjir atau kawalan lemah.
Apabila memasuki habitat baharu, spesies invasif bukan sahaja bersaing dengan ikan tempatan, malah boleh membawa penyakit serta parasit.
Lebih membimbangkan, pembiakan silang juga boleh mencetuskan pencemaran genetik yang mengancam kelangsungan populasi ikan tempatan.
Bagi mengekang ancaman tersebut, Akta Perikanan 1985 memperuntukkan larangan, namun, undang-undang dan penguatkuasaan semata-mata tidak memadai selagi punca kemasukan ikan asing ke perairan semula jadi gagal ditangani.
Dalam hal ini, pemilik ikan hiasan turut memainkan peranan penting dengan mengambil langkah sewajarnya apabila tidak lagi mahu atau mampu menjaga peliharaan masing-masing.
Antara langkah boleh diambil termasuk mendapatkan panduan Jabatan Perikanan mengenai pengurusan ikan berkenaan atau menyerahkannya kepada peminat lain yang mempunyai kemudahan kolam bersesuaian.
Hakikatnya, sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemilik bukan sahaja mengancam kelangsungan spesies ikan tempatan, malah berpotensi menjejaskan keseimbangan ekosistem perairan yang menjadi habitat asal hidupan akuatik negara.
*Norawazni Yusof ialah wartawan Sinar Harian Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
