GST uji persefahaman BN-Pas

Cadangan mengembalikan GST muncul ketika BN semakin membuka ruang kepada persefahaman politik dengan Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas.
Cadangan mengembalikan GST muncul ketika BN semakin membuka ruang kepada persefahaman politik dengan Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas.
A
A
A

KENYATAAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai hasrat mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya gabungan itu menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) membuka perdebatan mengenai hala tuju sistem percukaian negara.

Lebih menarik, cadangan itu muncul ketika BN semakin membuka ruang kepada persefahaman politik dengan Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada Pas bersedia menerima semula cukai berkenaan meskipun sebelum ini lantang mengkritiknya atas alasan kononnya bercanggah dengan prinsip Islam.

Timbalan Perdana Menteri itu mengulangi pendirian sama ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, 11 September lalu.

Ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA 2026 Ahad lalu, beliau sekali lagi menyatakan BN berazam mengembalikan pelaksanaan GST sekiranya membentuk kerajaan.

Bagaimanapun kata Presiden UMNO itu, cadangan berkenaan bukan bertujuan mengetepikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sebaliknya memastikan sistem percukaian negara lebih telus dan saksama.

Hasrat itu bukan sekadar pandangan peribadi apabila Ahmad Zahid turut menegaskan komitmen mengembalikan GST dipersetujui bersama rakan-rakan parti komponen BN.

Justeru, persoalan lebih besar ialah sejauh mana cadangan itu mampu direalisasikan sekiranya BN memerlukan sokongan PN untuk membentuk kerajaan selepas PRU16.

Kita imbas kembali pendirian Pas sekitar 10 hingga 11 tahun lalu apabila Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tegas menolak GST yang diperkenalkan kerajaan UMNO-BN ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Menjelang pelaksanaannya 1 April 2015, pemimpin tertinggi hingga ke peringkat sayap Pas dilihat sependapat menolak cukai berkenaan atas alasan membebankan dan menzalimi rakyat tanpa mengira latar belakang pendapatan.

Kebanyakan pemimpin Pas ketika itu mempersoalkan kewajaran sedangkan negara berdepan dakwaan ketirisan dan kelemahan pengurusan kewangan.

Malah, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas ketika itu, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh, menyifatkan pelaksanaan GST sebagai tindakan seolah-olah 'merompak rakyat secara sah'.

Pendirian tegas itu mencerminkan bagaimana isu GST pernah menjadi sebahagian kritikan politik dan hujah agama Pas terhadap pentadbiran BN.

Bagaimanapun, perlu ditegaskan kenyataan itu bukan fatwa rasmi yang mengikat seluruh umat Islam.

Menurut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2015, pemerintah diharuskan mengutip cukai seperti GST selagi terdapat keperluan demi negara dan rakyat.

Pengerusi muzakarah ketika itu, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, pelaksanaan GST tidak menjadi kesalahan selagi berlandaskan hukum syarak.

Jika Pas kini bersedia menjalin persefahaman politik dengan BN seperti dalam PRN Negeri Sembilan dan Melaka, adakah parti itu juga terbuka menyemak semula pendirian terdahulunya terhadap GST?

Pada 15 November lalu, Ahmad Zahid menjelaskan kerjasama BN-PN dalam dua PRN sebelum ini hanya bersifat tafahum siyasi atau persefahaman politik dan belum dirancang untuk diperluaskan ke PRU16.

Namun, sekiranya kerjasama itu diperluaskan hingga PRU16, Pas mungkin berdepan dilema mempertahankan pendirian terdahulunya menolak GST atau menerima kompromi politik yang boleh membuka jalan pelaksanaan semula cukai berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya ketika itu menentang GST kerana kadar enam peratus disifatkan terlalu tinggi membebankan rakyat.

Isu GST bukan perkara baharu dalam media arus perdana. Namun, kali ini perhatian tertumpu kepada 'jejak digital' pendirian Pas sedekad lalu, apatah lagi parti itu kini menjalinkan hubungan politik dengan BN.

*Aisyah Basaruddin ialah wartawan Sinar Harian

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!