BAP RM200: Jangan datang ambil duit sahaja

Kehadiran ibu bapa ke sekolah untuk menerima BAP RM200 membolehkan mereka bertemu dengan guru dan pihak sekolah bagi membincangkan prestasi anak masing-masing. Gambar hiasan
Kehadiran ibu bapa ke sekolah untuk menerima BAP RM200 membolehkan mereka bertemu dengan guru dan pihak sekolah bagi membincangkan prestasi anak masing-masing. Gambar hiasan
A
A
A

KEHADIRAN ibu bapa ke sekolah bagi menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM200 tahun depan bukan sekadar urusan penyerahan wang, sebaliknya turut menekankan hubungan golongan berkenaan dengan pihak sekolah.

Melalui pendekatan itu, ibu bapa berpeluang mengetahui perkembangan anak-anak selain mendapatkan maklumat daripada guru mengenai pembelajaran dan disiplin mereka.

Perkembangan murid bukan hanya dinilai melalui pencapaian akademik malah turut melibatkan pergaulan, sikap dan tingkah laku sepanjang berada di sekolah.

Pertemuan antara guru, murid dan ibu bapa juga membolehkan sebarang masalah pembelajaran atau disiplin dibincangkan secara bersama.

Penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tanggungjawab mendidik anak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada sekolah menunjukkan pentingnya peranan keluarga dalam pendidikan.

Isu buli dan disiplin misalnya memerlukan kerjasama ibu bapa dan guru bagi membentuk tingkah laku serta akhlak murid.

Bagaimanapun, pelaksanaan ketetapan kehadiran ibu bapa itu perlu mengambil kira kelancaran penyerahan bantuan dan kekangan yang mungkin dihadapi sesetengah keluarga.

Pada masa sama, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan perlu dilihat sebagai alat bantuan pembelajaran dan bukannya pengganti kepada asas seperti membaca serta mengira.

Kemajuan teknologi juga tidak seharusnya menyebabkan pembentukan nilai, akhlak dan disiplin dipinggirkan dalam usaha melahirkan generasi berilmu.

Artikel Berkaitan:

Justeru, kecemerlangan pendidikan memerlukan keseimbangan antara penguasaan teknologi, peranan guru dan penglibatan ibu bapa dalam membentuk generasi berpengetahuan serta mempunyai sahsiah yang baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!