Saya gembira untuk Zahid: Tajuddin

Tajuddin
Tajuddin
A
A
A

IPOH - Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman gembira dengan keputusan mahkamah membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 tuduhan rasuah berkait kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

Beliau berkata, keputusan itu membuka ruang yang lebih luas kepada Presiden UMNO itu untuk melaksanakan tanggungjawab kepada ahli dan parti.

"Tiada rasa dengki pun, gila punya kerja kalau berperasaan begitu.

"Sebagai orang Islam dan ahli parti, (walaupun) ahli parti biasa pun, kita tetap bersyukur dan gembira untuknya.

"Sudah tentu dengan keputusan itu (mahkamah), beliau akan melakukan terbaik selepas ini sebagai pemimpin dan ketua parti," katanya dalam sesi ramah mesra bersama media di sini pada Jumaat.

Pada Jun lalu, Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO dengan antara alasannya disebabkan sikap dan pendirian pemimpin itu yang bercanggah dengan parti.

Ditanya sama ada keputusan itu dapat memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO, Ahli Parlimen Pasir Salak itu yakin kepada penilaian rakyat.

Katanya, selama ini kerajaan UMNO dan BN telah membuktikan rekod perkhidmatan yang baik dalam membangunkan negara baik dalam aspek ekonomi dan perjuangan orang Melayu berbanding parti pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

"Dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ini akan adalah dibangkitkan apa juga berkenaan parti itu dengan parti-parti lain. Orang boleh hentam apa sahaja, jadi biarkan rakyat yang menilai.

"Pada saya tidak perlu bimbang kerana kita akan mengadap rakyat dan buka kita punya pencapaian apa yang telah kerajaan UMNO dan BN lakukan untuk kesejahteraan negara.

"Ini bukan bercakap sahaja, tetapi bercakap berdasarkan fakta dan kalau nak dibandingkan apa yang UMNO dan BN dah buat dengan apa yang PH lakukan, ibarat bumi dengan langit (bandingannya)," katanya.

Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali OSC di China dan sistem VLN.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.