Bersatu Melaka tidak terbubar, jawatankuasa baharu akan dibentuk - Jefri

MELAKA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka kekal utuh dan tidak terbubar walaupun lima daripada enam bahagian mengumumkan pembubaran jawatankuasa masing-masing berkuat kuasa Selasa.
Ketua Pemuda Bersatu Melaka, Jefri Safry berkata, parti itu akan segera menyusun semula struktur kepimpinan serta organisasi bagi memastikan gerak kerja terus berjalan secara teratur dan berkesan.
Menurutnya, Bersatu Melaka sememangnya telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berhubung sidang akhbar yang diumumkan oleh Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik.
“Kami menghormati pendirian yang telah diambil serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat dan sumbangan semua pimpinan serta ahli yang telah berusaha membangunkan parti selama ini.
“Bersatu Melaka tidak terbubar dan akan segera menyusun semula struktur kepimpinan. Setiap bahagian telah bersedia menghantar senarai ahli jawatankuasa baharu di peringkat masing-masing termasuk bagi sayap Srikandi dan Armada,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Rahim pada Selasa mengumumkan pembubaran jawatankuasa Bersatu di lima bahagian iaitu Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara, sukarela dan tanpa sebarang paksaan selepas mengambil kira perkembangan semasa parti di peringkat pusat serta suara akar umbi yang mendakwa keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti semakin terhakis dan sukar dipulihkan.
Rahim turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua BPN Melaka, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Ketua Bahagian Bersatu Alor Gajah.
Jefri berkata, jawatan Pengerusi Bersatu Melaka akan dilantik dalam masa terdekat bagi memperkukuh kepimpinan parti di negeri ini.
Ujar beliau, fokus Bersatu Melaka kini adalah untuk memperkukuh saf perjuangan, mempererat kesatuan ahli serta memastikan parti terus bersedia menghadapi cabaran politik semasa.
Beliau turut menegaskan Bersatu kekal komited dalam Perikatan Nasional bersama parti komponen lain.
“Kerjasama ini akan diperkasakan demi meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara serta memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Insya-ALLAH, dengan semangat kebersamaan dan iltizam yang tinggi, Bersatu Melaka akan kembali lebih tersusun, lebih kuat dan terus mara ke hadapan,” katanya.
Ringkasan AI
- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka kekal utuh dan tidak terbubar walaupun lima daripada enam bahagian mengumumkan pembubaran jawatankuasa
- Ketua Pemuda Bersatu Melaka, Jefri Safry, mengatakan parti itu akan segera menyusun semula struktur kepimpinan dan organisasi
- Rahim mengumumkan pembubaran jawatankuasa Bersatu di lima bahagian dan peletakan jawatan sebagai Ketua BPN Melaka serta di Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu
- Jawatan Pengerusi Bersatu Melaka akan dilantik dalam masa terdekat untuk memperkukuh kepimpinan
- Bersatu Melaka berkomitmen dalam Perikatan Nasional dan akan memperkasakan kerjasama bagi memperjuangkan agama, bangsa, dan negara serta kepentingan rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

