Mafia korporat: DAP terus desak tubuh RCI

PUTRAJAYA – DAP terus memberi tekanan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan mafia korporat yang dilemparkan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, gesaan itu dibuat susulan dakwaan berkenaan yang dilaporkan oleh Bloomberg baru-baru ini.
Menurut beliau, walaupun SPRM telah menafikan dakwaan tersebut, penafian semata-mata tidak mencukupi untuk meredakan persoalan yang timbul.
"Prinsip asas keadilan menetapkan bahawa tiada sesiapa boleh menjadi hakim dalam kes sendiri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar Gobind, apabila integriti agensi pencegahan rasuah utama negara dipersoalkan, penjelasan yang dikeluarkan sendiri tidak mampu memulihkan persepsi dan tidak membantu memulihkan keyakinan awam mahupun pelabur.
"Pendirian kami seperti dinyatakan Setiausaha Agung, Anthony Loke pada Selasa adalah jelas. Apa yang diperlukan ialah satu siasatan bebas dan telus.
"Dakwaan yang dibangkitkan adalah khusus. Ia menamakan individu, syarikat serta merujuk kepada kes yang boleh dikenal pasti," jelasnya.
Tegas beliau, terdapat asas mencukupi untuk siasatan dimulakan dan pilihan terbaik adalah dengan menubuhkan RCI kerana ia mempunyai kuasa statutori yang diperlukan bagi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan tersebut.
"Sama ada dakwaan tersebut benar atau tidak serta tindakan susulan yang wajar diambil adalah perkara yang perlu diputuskan oleh RCI," kata Gobind.
Beliau yang juga Menteri Digital berkata, prosiding RCI bukanlah untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya untuk menegaskan bahawa SPRM kekal bebas daripada sebarang syak wasangka yang boleh menjejaskan integriti atau kredibilitinya.
Katanya lagi, dakwaan mafia korporat telah menarik perhatian besar di dalam dan luar negara, justeru adalah penting untuk memastikan langkah sewajarnya diambil bagi menanganinya.
"Ini juga bukan usaha untuk melemahkan SPRM, tetapi memperkukuhkannya dengan menegaskan bahawa semua agensi yang diberi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan di negara ini sentiasa tertakluk kepada siasatan serta kedaulatan undang-undang.
"Sehubungan itu, pendirian kami kekal. Siasatan mesti dijalankan terhadap dakwaan yang dibuat dan siasatan tersebut wajar dilaksanakan melalui RCI yang dilengkapi segala kuasa yang diperlukan bagi memastikan siasatan berkesan dan telus serta dilaksanakan secepat mungkin," katanya.
Terdahulu, laporan penyiasatan Bloomberg mendakwa SPRM telah digunakan oleh sekumpulan ahli perniagaan bagi menekan dan menyingkirkan pengasas syarikat tersenarai melalui siasatan, pembekuan akaun dan tekanan undang-undang.
Menurut laporan tersebut, beberapa ahli perniagaan didakwa membeli pegangan saham dalam syarikat sasaran sebelum aduan dibuat kepada SPRM.
Selepas itu, siasatan akan dimulakan terhadap pengasas atau pengurusan asal, termasuk serbuan, pembekuan akaun bank dan penahanan untuk soal siasat.
Bloomberg memetik dokumen mahkamah, laporan polis serta temu bual dengan lebih 20 individu termasuk beberapa saksi dan pegawai semasa agensi itu, yang mendakwa wujud satu 'playbook' atau modus operandi yang berulang.
Bagaimanapun, SPRM dalam kenyataannya menafikan semua tuduhan tersebut.
Ringkasan AI
- DAP mendesak pembentukan RCI untuk menyiasat dakwaan mafia korporat terhadap SPRM
- Gesaan ini dibuat susulan laporan Bloomberg mengenai dakwaan tersebut
- SPRM telah menafikan dakwaan itu namun DAP berpendapat penafian tidak mencukupi
- DAP berpendapat hanya siasatan bebas dan telus dapat memulihkan keyakinan awam
- RCI dipandang sebagai cara terbaik untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

