Ahmad Zahid bebas, penyokong yakin UMNO kuat hadapi PRU15

Antara penyokong yang hadir di luar pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebagai tanda solidariti kepada Ahmad Zahid bagi keputusan akhir pendakwaan berhubung kes Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Antara penyokong yang hadir di luar pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebagai tanda solidariti kepada Ahmad Zahid bagi keputusan akhir pendakwaan berhubung kes Sistem Visa Luar Negara (VLN).
A
A
A

SHAH ALAM - Rata-rata penyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa syukur dan gembira selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat melepas dan membebaskan beliau atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Sebaik sahaja mengetahui keputusan itu, ratusan penyokong yang hadir di luar pekarangan mahkamah sejak awal pagi Jumaat bersorak kegembiraan selain memanjatkan doa syukur atas pembebasan Presiden UMNO tersebut.

Rata-rata mereka menyifatkan keputusan itu memberi 'petanda' bahawa UMNO merupakan sebuah parti keramat yang masih mempunyai kekuatan dan kelangsungan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Penyokong, Mazuri Harun, 58, berkata, pembebasan Ahmad Zahid daripada tuduhan menerima rasuah akan mengembalikan kepercayaan rakyat pada parti itu yang sering disalah anggap dan difitnah dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

"Hari ini rasa berbaloi datang jauh dari Terengganu dan menerima khabar gembira mengenai kebebasan tuduhan Datuk Seri Ahmad Zahid.

"Pada hari Jumaat yang mulia ini menunjukkan petanda bahawa UMNO itu masih ada kekuatan dan kelangsungan untuk teruskan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Ini menunjukkan kemenangan pada UMNO sendiri dan kita harap selepas ini tidak ada lagi fitnah, dakwaan palsu dan kaitkan parti ini dengan isu-isu rasuah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Seorang lagi penyokong, Yusof Awang Hitam, 59, berharap kebebasan tuduhan rasuah melibatkan Ahmad Zahid dapat menguatkan semula BN selain memperkukuhkan parti UMNO untuk menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini memberi semangat pada penyokong dan pengundi untuk memastikan BN menang pada PRU15.

"Ia juga memulihkan semula imej parti dan mengembalikan kepercayaan rakyat khususnya golongan muda pada UMNO dan BN," jelasnya.

Sementara itu, penyokong, Tengku Mahari Tengku Chik, 59, melahirkan rasa gembira kerana Ahmad Zahid dapat meneruskan perjuangan parti untuk memastikan kemenangan UMNO pada PRU15.

"Insya-ALLAH keputusan ini dapat memastikan pengundi yakin semula pada BN dan UMNO disamping tumpukan usaha untuk menguatkan parti dan memperjuangkan nasib rakyat," ujarnya.

Pada Jumaat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas 40 pertuduhan rasuah berhubung VLN.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.