AGC fail semakan keputusan Mahkamah Rayuan kes Da'i Syed

Jabatan Peguam Negara akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Da’i Syed.
Jabatan Peguam Negara akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Da’i Syed.
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful daripada pertuduhan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.

Menurut jabatan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas Pendakwa Raya meneliti alasan penghakiman panel Hakim Mahkamah Rayuan.

"Jabatan Peguam Negara mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 November 2026 menerusi keputusan majoriti yang melepas dan membebaskan pendakwah bebas, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful daripada pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Setelah meneliti alasan penghakiman panel Hakim Mahkamah Rayuan, Pendakwa Raya memutuskan bahawa satu permohonan semakan (review) akan difailkan di bawah Kaedah 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 [P.U. (A) 524/1994] (Rules of the Court of Appeal 1994)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, antara perkara dipertimbangkan Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan sabitan rogol terhadap Syed Shah Iqmal ialah pengadu lewat membuat laporan polis selama 441 hari.

Dalam penghakiman majoriti 2-1 dibacakan Hakim, Datuk Azman Abdullah, Mahkamah Rayuan berpendapat, mahkamah terdahulu terkhilaf melampau dan tersalah arah dalam dapatannya, sehingga mewajarkan ia (Mahkamah Rayuan) campur tangan.

Menurut Azman, mahkamah turut meneliti kelakuan mangsa (saksi pendakwaan pertama) sebelum, semasa dan selepas kejadian, termasuk komunikasi di antara mangsa dan perayu (Syed Shah Iqmal) menerusi aplikasi WhatsApp serta Instagram.

Mengulas lanjut jabatan itu berkata, permohonan berkenaan akan berlandaskan prinsip perundangan serta kriteria dan ambang yang ditetapkan bagi pelaksanaan bidang kuasa semakan Mahkamah Rayuan, seperti digariskan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan menerusi kes Asean Security Paper Mills Sdn Bhd v Mitsui Sumitomo Insurance (Malaysia) Bhd.

Sehubungan itu katanya, hujahan pihak pendakwaan akan tertumpu kepada persoalan sama ada terdapat keadaan luar biasa yang memenuhi ambang perundangan berkenaan bagi membolehkan mahkamah mempertimbangkan pelaksanaan bidang kuasa semakannya.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Peguam Negara kekal komited dalam memelihara keluhuran undang-undang dan memastikan keadilan ditegakkan selaras dengan saluran serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!