Lelaki tampar, ugut peniaga guna pisau diberkas

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki diberkas selepas dipercayai menampar serta mengugut menggunakan sebilah pisau akibat perselisihan faham berkaitan aktiviti perniagaan di Bandar Tasik Selatan di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan seorang lelaki yang dipercayai ditampar dan diugut menggunakan senjata tajam itu.
Menurutnya, kejadian berlaku di tepi jalan hadapan Residensi Sateria, Jalan Tasik Selatan 21, Bandar Tasik Selatan.
"Susulan laporan diterima, polis mengambil tindakan segera sebelum berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bagi membantu siasatan.
"Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini tular hantaran di media sosial dimuat naik seorang individu mendakwa ditampar serta diugut akibat perselisihan faham berkaitan perniagaan.
Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merakam percakapan mangsa serta saksi-saksi selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di sekitar lokasi kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

