Pendakwaan cabar kebolehpercayaan saksi pembelaan Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membenarkan permohonan pendakwaan untuk memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi ketiga pembelaan yang didakwa memberikan keterangan bercanggah.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian ketika prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sequerah berkata, pendakwaan boleh memulakan prosiding itu kerana Seksyen 155 Akta Keterangan 1950 membenarkan pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi, Pengarah Syarikat Pembinaan Teknik Sempurna Sdn Bhd, Jefri Jamil, 38.

Menurutnya, ia tidak menyentuh sama ada dokumen berkenaan (kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) atau tidak.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memulakan prosiding terhadap saksi itu.

Difahamkan, pendakwaan mencabar kebolehpercayaan saksi itu kerana keterangan Jefri di mahkamah pada Khamis, dikatakan bercanggah dengan kenyataannya kepada SPRM, pada 2018 lalu.

Pendakwaan memulakan prosiding itu selepas saksi berkenaan ditanya mengenai pembayaran pembinaan sebuah masjid dan sekolah agama di Masjid Tanah, Melaka menggunakan cek daripada Yayasan Akalbudi.

Pada ketika itu, Raja Rozela sedang menyoal balas Jefri berkaitan cek yang diterima syarikat Teknik Sempurna berhubung pembinaan masjid dan sekolah agama di Masjid Tanah, Melaka daripada Yayasan Akalbudi yang diasaskan Presiden UMNO itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik membantah permohonan itu, kerana dokumen kenyataan Jefri diklasifikasikan sulit sebagaimana OSA pada 2 Mac 2021.

“Pendakwaan tidak boleh memulakan prosiding itu kerana permohonan pihaknya untuk mendapatkan dokumen berkenaan telah ditolak mahkamah sebelum ini dengan alasan sama,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.