Pemandu teksi mahu pinjaman mudah, faedah rendah

Hassan (tengah) menerima surat permohonan sumbangan daripada Rahman untuk aktiviti persatuan teksi semasa pertemuan antara pemandu dan wakil-wakil persatuan teksi di bandar Permas Jaya, Pasir Gudang, pada Rabu.
Hassan (tengah) menerima surat permohonan sumbangan daripada Rahman untuk aktiviti persatuan teksi semasa pertemuan antara pemandu dan wakil-wakil persatuan teksi di bandar Permas Jaya, Pasir Gudang, pada Rabu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Persatuan Pemandu Teksi Pasir Gudang memohon bank milik kerajaan atau swasta mewujudkan satu bentuk pinjaman yang mudah, cepat lulus dan dengan kadar faedah rendah untuk membeli teksi.

Pengerusinya, Rahman Arif berkata, ini kerana pemandu teksi amat sukar membuat pinjaman sedangkan mereka perlu menukar teksi baharu apabila sudah sampai had usia maksima penggunaan seperti ditetapkan dalam syarat lesen atau permit kenderaan.

"Usia teksi yang dibenarkan hanya 10 tahun dan selepas itu perlu menggantikan dengan teksi yang baharu. Ini dilihat membebankan dalam keadaan kita terpaksa bersaing dengan pemandu e-hailing.

"Kita minta kerajaan menyalurkan dana juta atau bilion ringgit dalam Bank Simpanan Nasional (BSN) atau mana-mana bank swasta untuk memudahkan pemandu teksi membuat pinjaman dengan kadar faedah serendah dua peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan antara pemandu dan wakil-wakil persatuan teksi dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di bandar Permas Jaya di sini pada Rabu.

Rahman meminta kerajaan memanjangkan had usia teksi digunakan daripada 10 kepada 15 tahun kerana tempoh satu dekad itu singkat.

"Rata-rata pemandu teksi di Pasir Gudang berusia 60 atau 70 tahun, mereka susah membuat pinjaman bank atas faktor umur dan jika tukar teksi baharu tetapi had usia teksi tidak dipanjangkan, pembayaran balik dalam tempoh 10 tahun itu belum habis lagi," katanya.

Dia turut mencadangkan kerajaan memberi insentif pinjaman sebanyak RM5,000 kepada mereka untuk membeli teksi baharu dan mandakwa masalah dibangkitkan itu bukan sahaja dialami pemandu teksi di sini tetapi seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemandu teksi juga terikat dengan pelbagai peraturan dan syarat tidak sepertimana pemandu e-hailing diberi banyak kelonggaran daripada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Sementara itu, Hassan berkata, menerusi pertemuan tersebut mereka membangkitkan layanan dan peraturan tidak adil pihak SPAD antara pemandu atau pemilik teksi dan pemandu atau pemilik e-hailing.

"Terdapat layanan dua darjat contohnya pemandu teksi perlu mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk insuran sebanyak RM232 setahun manakala pemandu e-hailing diberikan diskaun 80 peratus dah hanya perlu membayar RM46.40 sahaja setahun," katanya.

Menurut Hassan, mereka juga membangkitkan masalah pendapatan yang teruk terjejas selepas Covid-19 dan meminta kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri membantu dengan memberikan insentif.

Beliau menambah, semua masalah tersebut akan disuarakan dalam Parlimen yang akan bersidang pada 3 Oktober ini bagi mencari penyelesaian dan jika tidak ditangani, dibimbangi perkhidmatan teksi akan pupus pada masa depan.