Kenyataan Tommy Thomas bersifat rasis: MPN

Rakyat di negara ini baru sahaja menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia dan berasa amat terguris dengan kenyataan politik bersifat rasis seumpama ini. - Foto 123rf
Rakyat di negara ini baru sahaja menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia dan berasa amat terguris dengan kenyataan politik bersifat rasis seumpama ini. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM- Majlis Profesor Negara (MPN) menyifatkan kenyataan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang menyebut kerajaan dominasi Melayu di Malaysia menunjukkan prestasi amat buruk dalam pentadbiran adalah sangat rasis.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, kenyataan seumpama itu adalah tidak bertanggungjawab dan boleh merosakkan perpaduan kaum yang telah dibina selama ini.

Justeru, beliau memberi amaran keras kepada Tommy Thomas untuk tidak menangguk di air keruh dan memporak perandakan kesepaduan antara kaum di negara ini dengan membuat kenyataan berbaur hasutan dan rasis.

“Mengaitkan kerajaan pada hari ini sebagai kerajaan dominasi sesuatu kaum amat sangat tidak tepat kerana kerajaan ini didokong oleh semua kaum (MCA, MIC) termasuk parti-parti pelbagai kaum dari Sabah dan Sarawak.

“Rakyat di negara ini baru sahaja menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia berasa amat terguris dengan kenyataan politik bersifat rasis seumpama ini.

“Perpaduan adalah aset masyarakat yang sangat bernilai dalam kita mengatur kehidupan bernegara demi kelangsungan dan kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Raduan
Dr Raduan

Jelas Raduan, sikap rasis seperti ditunjukkan oleh Tommy atau sesiapa jua harus dibantah oleh semua pihak yang cintakan kedamaian, keamanan dan kemanusiaan telah berjaya disemai dan dipupuk selama ini.

Artikel Berkaitan:

“KIta harus sedar bahawa bukan sahaja Malaysia, tetapi negara-negara lain di dunia sedang bertarung dengan cabaran Covid-19 serta kesannya terhadap ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat.

“Negara mula menyaksikan pertumbuhan pengeluaran negara kasar (GDP) bagi suku kedua tahun ini iaitu sebanyak 8.9 peratus (tertinggi di Asia Tenggara) yang merupakan petunjuk jelas tentang prestasi kerajaan sekarang dalam memulihkan ekonomi pasca Covid-19.

“Ini menunjukkan polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membina semula keyakinan pelabur tempatan dan luar negara bagi memulihkan ekonomi berada di landasan betul,” ujarnya.

Beliau menambah, Malaysia disenaraikan tempat ketiga oleh Global Business Service (GBS) selepas India dan China dari segi khidmat perniagaan global.

Data yang dikeluarkan oleh Konsultansi Global Kearney bagi setiap dua tahun itu menunjukkan kepercayaan dunia kepada khidmat perniagaan global.

“Selain itu, banyak petanda-petanda lain menunjukkan proses pemulihan positif dan kembali kepada potensi sebenar negara yang tekad membangunkan negara serta membela nasib rakyat,” jelasnya.