Kerajaan tidak campuri keputusan naikkan OPR

Tengku Zafrul (dua dari kiri) sambil diiringi Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar (tiga dari kiri) menyampaikan geran pembiayaan sewa beli komersial kepada salah seorang penerima pada Program Jelajah KUSKOP Negeri Selangor di Pekarangan Terminal Bas Kuala Selangor pada Sabtu.
Tengku Zafrul (dua dari kiri) sambil diiringi Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar (tiga dari kiri) menyampaikan geran pembiayaan sewa beli komersial kepada salah seorang penerima pada Program Jelajah KUSKOP Negeri Selangor di Pekarangan Terminal Bas Kuala Selangor pada Sabtu.
A
A
A

KERAJAAN menegaskan tidak mencampuri keputusan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kerana ia ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sebarang keputusan kenaikan OPR bukan ditentukan oleh kerajaan sama seperti dasar yang dilaksanakan di negara lain.

Menurut beliau, kadar OPR itu seharusnya dibuat perbandingan antara Malaysia dan negara lain.

"Sebagai contoh negara lain telah naik lebih 2.25 peratus atau lebih 100 mata asas, manakala negara pula pada tahap 2.5 peratus dengan kenaikan OPR 75 mata asas sejak Januari lalu," katanya pada sidang akhbar selepas Program Jelajah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Negeri Selangor di Pekarangan Terminal Bas Kuala Selangor di sini pada Sabtu.

Tengku Zafrul memberitahu, setakat ini, kadar 2.25 peratus adalah lebih rendah berbanding OPR sebelum Covid-19 iaitu sekitar 3 peratus sejak tahun 2013.

"Adakah OPR ini tinggi? Jika hendak dibandingkan pertumbuhan ekonomi kita begitu kukuh pada suku pertama tahun ini iaitu sebanyak 6.9 peratus dan meningkat kepada 8.9 peratus pada suku kedua tahun sama," ujar beliau.

Jelas beliau, kenaikan OPR itu juga disebabkan oleh perkembangan harga komoditi global akibat konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine serta gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.

"Kita dapat lihat harga barang dan makanan serta bahan tenaga naik menyebabkan kadar inflasi lebih tinggi di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"Negara maju inflasi sehingga 9 hingga 10 peratus dan bagi mengatasi inflasi kerajaan yang disokong dasar fiskal menyalurkan peruntukan besar dalam bentuk subsidi," kata beliau.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan membelanjakan subsidi barang keperluan asas iaitu mencecah kira-kira RM80 bilion.

Malah beliau memberitahu, kadar inflasi Malaysia antara paling rendah di dunia berikutan langkah penyaluran subsidi besar oleh kerajaan.

"Harga seperti minyak masak, ayam dan tenaga elektrik adalah harga yang kita kawal melalui pemberian subsidi.

"Oleh itu, inflasi itu dalam lingkungan 2.8 peratus untuk enam bulan pertama dan kita menjadi negara inflasi paling rendah di dunia," jelasnya.