Bank Muamalat sedia akses biaya kewangan kepada asnaf, B40

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Tidak dinafikan golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf di negara ini sukar mendapat pinjaman daripada mana-mana institusi perbankan di Malaysia, sekali gus menyukarkan mereka untuk mencari modal pemula dan meneruskan kelangsungan perniagaan mereka dalam tempoh pasca pandemik.

Menyedari kesukaran rakyat, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mewujudkan program iTEKAD yang bertujuan membantu usahawan mikro berpendapatan rendah untuk memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.

Inisiatif itu seterusnya disokong oleh bank-bank di Malaysia dan Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) merupakan antara bank yang terawal menyahut seruan BNM bagi memulakan program iTEKAD, seiring dengan Bank Islam Malaysia Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd.

Bank Muamalat Tawar Dua Model iTEKAD

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Bank Muamalat membangunkan program iTEKAD melalui dua model iaitu iTEKAD Mawaddah dan iTEKAD Mahabbah yang telah memberi manfaat kepada 777 usahawan asnaf dan B40 dengan pengagihan sebanyak RM6.5 juta.

"Program yang disediakan ini membolehkan peserta, terdiri daripada usahawan mikro asnaf dan B40 mendapat akses kepada pembiayaan bagi membolehkan mereka memulakan dan meneruskan kesinambungan perniagaan mereka.

"Usaha ini secara tidak langsung akan menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan golongan ini.

"Mereka akan diberi latihan yang berstruktur bagi meningkatkan kemahiran serta dibimbing untuk meningkatkan kepintaran dalam perniagaan dan menjana pendapatan yang lebih tinggi secara mampan,” katanya kepada Bernama.

Model pertama iaitu iTEKAD Mawaddah melalui inovasi Syariah yang menggabungkan instrumen kewangan sosial (dana zakat) dan dana pelaburan yang bertujuan sebagai bantuan kewangan untuk membantu mereka yang layak memohon.

Ia menggunakan produk akaun pelaburan terhad patuh Syariah yang berasaskan konsep dua peringkat Mudarabah, iaitu kontrak antara pemberi modal (rabbul mal) dan usahawan (mudarib), kata Afzanizam.

"Program ini dirangka dengan tujuan untuk membantu usahawan mikro, terutamanya dalam kalangan B40 dan asnaf yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dalam usaha untuk bangkit dan membina semula perusahaan mereka serta menyokong usaha kerajaan dan BNM membantu golongan ini untuk lebih berdaya maju,” katanya.

Model kedua program iTEKAD yang dinamakan sebagai iTEKAD Mahabbah melibatkan peserta usahawan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (iPUSH), sebuah program kolaborasi antara kerajaan negeri Pahang dan Bank Muamalat.

Objektif dan sasaran program iTEKAD Mahabbah adalah selari dengan iTEKAD Mawaddah iaitu menyediakan bantuan latihan berstruktur, bantuan aset perniagaan dan pembiayaan.

"Perbezaan kedua-dua model iTEKAD ini ialah dari sudut penyedia dana pembiayaan dan kontrak Syariah. Dana pembiayaan bagi iTEKAD Mawaddah ialah daripada pelabur manakala iTEKAD Mahabbah daripada kerajaan negeri Pahang.

"Kontrak Syariah bagi iTEKAD Mawaddah ialah pelaburan dengan peratusan perkongsian keuntungan (mudarabah) dan iTEKAD Mahabbah ialah pinjaman tanpa keuntungan atau riba (Qard),” katanya.

25 Peserta Berjaya di bawah Program iTEKAD Mawaddah

Sehingga kini, Bank Muamalat telah mempunyai seramai 25 orang peserta dalam kalangan asnaf dan B40 dengan pembiayaan lebih daripada RM160,000 melalui iTEKAD Mawaddah.

Sementara itu, geran ‘aset perniagaan’ yang telah diterima daripada BNM dan Kementerian Kewangan adalah sebanyak RM85,000. Dana geran ini masih berbaki sebanyak RM41,253.31 untuk digunakan kepada kumpulan baharu nanti.

Bagi 2023, Bank Muamalat menyasarkan pembiayaan untuk program iTEKAD Mawaddah sebanyak RM150,000, kata Afzanizam.

Program iTEKAD Mawaddah mempunyai empat kumpulan sejak tempoh pelancarannya dan dana pelaburan bagi kumpulan pertama telah berlangsung sejak 22 Sept 2021 dengan jumlah seramai 10 peserta dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

"Seramai 10 peserta daripada kumpulan pertama dan 5 peserta daripada kumpulan kedua telah menamatkan tempoh usaha niaga yang dijalankan selama setahun bagi setiap kumpulan.

"Lapan peserta daripadanya, telah berjaya menjana hasil perniagaan yang mampu mengembalikan dana pelaburan serta menghasilkan keuntungan kepada pelabur,” katanya.

Selain itu, hampir keseluruhan peserta iTEKAD telah berjaya mengekalkan perniagaan mereka di samping memanfaatkan latihan berstruktur yang diterima sepanjang program iTEKAD berlangsung.

Afzanizam berkata, mereka berjaya menambah baik pengurusan perniagaan mereka dari sudut perakaunan dan juga berjaya melebarkan pemasaran produk mereka antaranya melalui platform dalam talian seperti Grab Food, Food Panda, Shopee Food, Facebook, Instagram dan Tik Tok.

Pembahagian Keuntungan di bawah Program iTEKAD Mawaddah Bank Muamalat

Kontrak Mudarabah yang diaplikasi dalam program iTEKAD Mawaddah distruktur melalui kerangka dua peringkat Mudarabah, apabila peringkat pertama Mudarabah akan melibatkan pelabur (Rabbul Mal 1) dan pihak bank manakala peringkat kedua antara bank (Rabbul Mal 2) dan usahawan, kata Afzanizam.

"Setelah tamat tempoh pelaburan (sebagai contoh satu tahun), Nisbah Perkongsian Keuntungan (PSR) akan dibahagikan dengan kadar nisbah sebanyak 70 peratus kepada usahawan dan 30 peratus kepada pihak bank.

"Pada peringkat seterusnya, keuntungan 30 peratus yang diperoleh oleh pihak bank dikongsi sebanyak 95 peratus kepada pelabur dan lima peratus kepada pihak bank,” katanya.

Sekiranya perniagaan usahawan mengalami kerugian, Afzanizam menjelaskan bahawa akan berlaku dua situasi yang mana jika usahawan tersebut rugi disebabkan hal-hal yang tidak dijangka dan tidak dapat dielakkan (genuine loss), mereka hanya dikehendaki untuk memulangkan semula semua hasil jualan yang dicapai sepanjang tempoh pelaburan dan perniagaan sahaja.

Namun, sekiranya usahawan didapati mengalami kerugian ekoran kecuaian diri sendiri, mereka dikehendaki untuk memulangkan semula semua hasil jualan yang dicapai sepanjang tempoh pelaburan dan perniagaan serta dikehendaki untuk membayar semula semua dana pelaburan yang diterima di awal program iTEKAD Mawaddah.

Bank Muamalat Bantu Usahawan Pertanian Kembang Perniagaan

Bank Muamalat telah menyatakan hasrat untuk membantu usahawan asnaf dan B40 yang menjalankan perniagaan yang berasaskan asas tani atau pertanian bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk pertanian luar negara.

"Berdasarkan rekod dan pemerhatian awal, bidang ini mampu menjana keuntungan oleh usahawan yang terlibat selari dengan prestasi keuntungan dalam bidang perusahaan berasaskan makanan dan minuman mahupun perkhidmatan.

"Selain itu, bidang ini juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan asnaf dan B40 terutamanya di kawasan perkampungan sekali gus meningkatkan pendapatan eksport negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap produk pertanian luar negara,” kata Afzanizam.

Bank Muamalat turut merancang untuk mengembangkan lagi program iTEKAD Mawaddah melalui kolaborasi bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Organisasi dan Badan Tidak Berasaskan Keuntungan (NGO) yang terpilih. - Bernama