Pahang peruntuk RM47 juta hadapi banjir

Wan Rosdy (depan, kiri) bersama 15 pelajar KYP yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Yarmouk selepas majlis penyerahan di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.
Wan Rosdy (depan, kiri) bersama 15 pelajar KYP yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Yarmouk selepas majlis penyerahan di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang memperuntukkan RM47 juta untuk persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu disediakan untuk pembelian aset seperti bot dan pembinaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal di Maran.

Menurutnya, antara persiapan lain termasuk penyediaan tapak pendaratan helikopter di Lipis bagi membantu memudahkan urusan penghantaran barang keperluan kepada mangsa banjir dan penyediaan sistem pengesanan pergerakan tanah di Cameron Highlands.

"Melalui peruntukan itu diharap dapat membantu menyelesaikan masalah yang timbul sekiranya bencana itu melanda negeri ini.

"Walaupun tidak semua masalah dapat diselesaikan namun sekurang-kurangnya impak bencana itu dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Tahniah dan Wang Pendahuluan Pelajar Tahun Ketiga Program Kolej Yayasan Pahang (KYP)-Universiti Yarmouk, Jordan di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, Pahang telah bersedia dan akan menambah baik kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut setiap tahun.

"Kerajaan negeri akan meneliti cadangan dikemukakan Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan dalam tempoh terdekat ini, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak akan mengadakan taklimat bersama Pengerusi PKOB daerah berhubung perkara itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang memperuntukkan sumbangan AS$15,000 atau lebih RM67,000 kepada 15 pelajar KYP yang melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk, Jordan.

Menurutnya, melalui bantuan itu, setiap pelajar terlibat yang akan berangkat ke Jordan pada 25 September ini untuk meneruskan pengajian bagi tahun tiga dan empat menerima sumbangan AS$1,000 (RM4,500).

"Mereka merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi dan Perbankan Islam) melalui program kerjasama antara KYP dan Universiti Yarmouk, Jordan.

"Melalui program ini, pelajar terlibat perlu mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) selama empat bulan sebelum mengikuti pengajian selama dua tahun di KYP dan dua tahun lagi di Universiti Yarmouk," katanya.

Tambah beliau, seramai 402 pelajar anak Pahang telah ditawarkan program itu sejak tahun 2005 dan 331 daripadanya telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing.