82 projek bekalan air libat kos RM47 juta di Pahang selesai

Wan Rosdy berucap ketika membuat penggulungan menjunjung kasih titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. - Foto Bernama
Wan Rosdy berucap ketika membuat penggulungan menjunjung kasih titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 82 daripada 217 projek bekalan air Pahang Fasa Satu 2021 hingga 2026 membabitkan kos RM47 juta sudah siap dilaksanakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, 37 projek lagi membabitkan kos RM299.9 juta dalam pembinaan manakala 98 projek kini dalam peringkat prapembinaan iaitu perancangan reka bentuk, kelulusan atau urusan pelantikan kontraktor membabitkan kos RM1,996.6 juta.

Menurutnya, projek-projek ini dirancang bagi atasi masalah bekalan air di Pahang antaranya paip pecah, tekanan rendah, putus bekalan, kualiti air mentah yang merosot dan penukaran jajaran paip lama.

"Sehingga kini, kesemua 217 projek masih kekal dalam perancangan rapi dan pelaksanaan oleh kerajaan negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM2.3 bilion.

"Keseluruhan peruntukan ini bukanlah sekadar janji, angka atau impian kosong. Ini merupakan satu inisiatif yang pasti dan dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak.

"Seperti yang saya jelaskan ketika Sidang DUN Pahang Ke-14, perkhidmatan bekalan air merupakan salah satu keutamaan dan fokus utama kerajaan negeri. Saya telah kotakan janji turun ke setiap daerah di Pahang, mendengar dan berbincang bersama PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad) mengenai isu dan penyelesaian masalah bekalan air di Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Wan Rosdy menjelaskan kerajaan negeri dan PAIP komited mahu memastikan 90 peratus isu bekalan air di Pahang dijangka dapat diselesaikan pada 2026.

Ujarnya, agenda air di Pahang amat besar dan mempunyai beberapa komponen, memerlukan perancangan rapi, masa serta peruntukan kewangan yang besar.

Wan Rosdy menambah, masalah berkaitan bekalan air berlaku bukan sahaja di Pahang, tetapi berlaku di semua negeri di seluruh negara, bahkan ada negeri yang tahap perkhidmatan airnya lebih teruk daripada Pahang.

"Isu utama adalah kadar tarif yang rendah kerana kali terakhir kajian tarif bekalan air domestik dilakukan di Pahang adalah pada 1983. Tarif air domestik Pahang adalah yang kedua terendah di Malaysia selepas Pulau Pinang.

"Kerajaan negeri terus bertahan dengan kadar tarif ini kerana ambil kira bebanan terhadap rakyat," ujarnya.