Pesara bomba kumpulan awal tiba lokasi nahas helikopter

Mohamad Yunus (kiri) antara yang awal tiba di lokasi nahas ketika menyertai SAR yang dijalankan di Hutan Simpan Chikus, Bidor. - Foto Ihsan pembaca
Mohamad Yunus (kiri) antara yang awal tiba di lokasi nahas ketika menyertai SAR yang dijalankan di Hutan Simpan Chikus, Bidor. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

TAPAH - Dua helikopter milik pasukan penyelamat berlegar-legar di udara menjadi petunjuk kepada pesara bomba untuk tiba awal di lokasi nahas helikopter terhempas yang mengorbankan seorang juruterbang di Hutan Simpan Chikus, Bidor di sini pada Isnin.

Bekas Timbalan Ketua Pengajian Penyelamat di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Mohamad Yunus Abu, 48, berkata, mereka antara kumpulan orang awam yang tiba awal di lokasi kejadian sekitar jam 9.50 pagi.

Menurutnya, Penghulu Mukim Bidor, Ahmad Fahmie Othman bersama dua Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Chegar turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula jam 8 pagi itu.

"Berdasarkan pengalaman selama 16 tahun dalam pasukan penyelamat, kita tidak boleh berkomunikasi dengan orang atas jadi helikopter itu akan bagi petunjuk kepada kita dengan berpusing-pusing di lokasi kejadian.

Helikopter milik TUDM bersedia membawa keluar mangsa dari kawasan Hutan Simpan Chikus. - Foto Ihsan PDRM
Helikopter milik TUDM bersedia membawa keluar mangsa dari kawasan Hutan Simpan Chikus. - Foto Ihsan PDRM

"Kami yang menaiki pacuan empat roda pada awalnya tersasar tetapi berpandukan pergerakan helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan polis itu, kami ambil keputusan untuk mencari jalan sehampir mungkin," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Jelas Mohamad Yunus, mereka memandu sejauh lima kilometer dan berjalan kaki sehingga satu kilometer dengan meredah semak serta paya untuk tiba di lokasi.

"Pegawai TUDM telah bersedia berhampiran bangkai helikopter yang berada di celah pokok di hutan berpaya itu dan mereka telah beri bantuan awal kepada mangsa yang cedera parah.

Artikel Berkaitan:

"Kami yang tiba bersama pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu menaikkan mangsa ke helikopter untuk dibawa keluar," katanya.

Beliau yang juga bekas Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak bersyukur kerana berjaya membantu pasukan penyelamat mencari dan mengesan mangsa nahas.

"Dengan kemahiran dan pengalaman yang ada, saya sedia membantu masyarakat walaupun tidak lagi berkhidmat dalam pasukan penyelamat," katanya.

Tangkap layar menunjukkan keadaan operasi membawa keluar mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. - Foto Ihsan pembaca
Tangkap layar menunjukkan keadaan operasi membawa keluar mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. - Foto Ihsan pembaca

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan mangsa yang dikenal pasti sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58, warganegara Hong Kong disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dilaporkan hilang selepas helikopter jenis Eurocopter EC120B kendaliannya terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada Ahad.

Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar mangsa dari kawasan Hutan Simpan Chikus di sini sekitar jam 10.12 pagi selepas 22 jam helikopter dilaporkan hilang.